DAP: Azalina wujudkan duluan buruk 'Najib tak perlu jawab'
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said didakwa menjadikan parlimen dikawal oleh kerajaan dengan kenyataannya bahawa perdana menteri boleh memilih untuk tidak menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata Azalina melakukan kesilapan itu pada hari pertama Parlimen bersidang dengan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai 'hak' untuk menjawab soalan berhubung 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion apabila beliau memilih berbuat demikian.
"(Azalina) melakukan satu penghinaan kepada Parlimen dengan mendakwa bahawa Perdana Menteri mempunyai hak untuk memilih bila beliau mahu menjawab soalan mengenai 1MDB," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Lim, tindakan Azalina itu mewujudkan satu ‘precedent’ atau duluan yang buruk.
"Ini melarikan diri atau mengelakkan tanggungjawab menteri kepada Parlimen,” kata Lim yang juga membidas pembaharuan parlimen yang mahu dilakukan.
Katanya, isu 1MDB atau derma RM2.6 bilion yang didakwa disalurkan ke akaun bank peribadi Najib langsung tidak dibahaskan di Parlimen sejak sesi bermula pada 19 Oktober.
Justeru, menurut Lim, pembangkang terpaksa mencari jalan luar biasa tetapi kreatif dengan menaikkan sepanduk "Mana RM2.6 bilion?" selepas Najib membentangkan Bajet 2016, Jumaat lalu.
Malah, katanya, kebimbangan raja-raja Melayu mengenai 1MDB juga tidak diendahkan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.