Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM serbu syarikat dikaitkan dengan kempen p'raya BN?
Diterbitkan:  Oct 29, 2015 4:20 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan 'menyerbu' sebuah syarikat pembangunan dan penyelarasan penjenamaan strategik.

Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan bahawa pegawai suruhanjaya itu telah pergi untuk mendapatkan dokumen berkaitan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Malaysia Today turut melaporkan kejadian yang dikatakan berlaku semalam itu.

Blog itu mengenal pasti syarikat itu sebagai Brandworth Corporation yang berpangkalan di Petaling Jaya.

Ia dikatakan menguruskan strategi media BN dalam pilihan raya umum lalu dan akan menjalankan tugas sama untuk pilihan raya akan datang.

“Seluruh strategi, belanjawan, pendanaan, dan maklumat rahsia lain berkaitan pilihan raya umum lalu dan akan datang kini di tangan SPRM,” menurut artikel itu.

Setakat ini masih tidak jelas sama ada langkah SPRM itu berkaitan dengan siasatan kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak atau siasatan terhadap bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Bekas SU Najib lembaga pengarah

RM2.6 bilion itu dikatakan dana politik daripada Timur Tengah menjelang pilihan raya umum.

SPRM merujuk dana itu sebagai “derma”. Kes itu masih berjalan hingga ke hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini , pegawai perhubungan awam Brandworth Corporation Zackzeckarnain Sophian menafikan terdapat serbuan oleh SPRM.

“Tiada serbuan, terima kasih,” katanya dalam jawapan melalui aplikasi pesanan WhatsApp.

Semakan Malaysiakini mendapati beberapa individu terkenal menjadi anggota lembaga pengarahnya, termasuk bekas setiausaha akhbar Najib.

Malaysiakini telah menghubungi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan masih menunggu jawapannya.

Ketika berita ini ditulis, beliau dikatakan sedang berada dalam sebuah mesyuarat.

Najib berulang kali menafikan dakwaan salah laku dan mendakwa terdapat rancangan untuk menolaknya sebagai perdana menteri.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS