Terpulang Pua berdebat dengan Arul, kata pengerusi PAC

Zikri Kamarulzaman        

Terpulang kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua untuk berdebat dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung syarikat yang sarat hutang itu, kata pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin.

“Arul Kanda telah bersetuju untuk terima cabaran (berdebat) tanpa syarat

Jadi atas isu ni, terpulang kepada Pua untuk ambil keputusan sama ada untuk berdebat atau tidak,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut pada sidang akhbar ringkas di lobi Parlimen hari ini.

"Itu sahaja," katanya ketika ditanya berulang kali oleh media sama ada beliau bersetuju dengan perbahasan atau berpendapat sam ada tindakan itu adalah bijak.

Hasan kemudian terus menuju ke Dewan Rakyat.

Pua dan Arul Kanda masing-masing sebelum ini bersetuju untuk berdebat mengenai isu syarikat pelaburan negara 1MDB tanpa sebarang syarat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak juga telah menawarkan untuk menyiarkan perbahasan secara langsung di RTM.

PAC mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini selepas pelantikan enam anggota baru termasuk pengerusinya yang dilantik memegang jawatan itu berkuat kuasa 19 Oktober lalu.

Ahli Parlimen Rompin itu menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri susulan rombakan Kabinet pada Julai.

Selain Hasan, anggota PAC yang baharu dilantik ialah Anggota Parlimen Putatan, Datuk Marcus Mojigoh dari BN dan Anggota Parlimen Kota Baharu, Datuk Takiyuddin Hassan dari PAS.

Turut dilantik Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) dan Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) yang masing-masing menggantikan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri Luar) dan Datuk Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan).

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In