'Lihat bapak, buaya kita besar-besar, sihat-sihat'
GLOBAL Selepas mengusulkan 'penjara buaya' untuk pengedar dadah, ketua badan antidadah Indonesia Budi Waseso semalam tampil melawat sebuah sangkar buaya di Medan, Sumatera Utara.
Budi, yang namanya diringkaskan kepada “Buwas” oleh akhbar tempatan, turut menyaksikan bagaimana ribuan buaya di tempat itu diberi makan, lapor Jawa Pos .
"Bapak lihat kan, buaya-buaya kita masih sihat-sihat dan besar-besar," ujar pengelola tempat itu sambil memberikan ayam sebagai reptilia itu.
Dalam lawatan itu, Budi juga menjelaskan kenapa buaya menjadi pilihannya sedangkan banyak lagi binatang buas lain.
“Cuba kalau harimau, pasti dia lompat dan mencakar-cakar, apatah lagi kalau makanannya terlambat. Sebab itu saya pilih buaya," katanya.
Jika rancangan itu disetujui Presiden Indonesia Joko Widodo, kata Buwas, republik itu akan menjadi negara pertama melaksanakannya.
"Kalau tak boleh buaya paya, kita pakai buaya darat saja," gurau Buwas lagi.
Budi sebelum ini mengusulkan idea itu selari dengan tindakan Indonesia melipat gandakan usaha membanteras pengedaran dadah di negara itu.
Bagaimanapun, kegiatan itu sukar dibanteras kerana belenggu amalan rasuah yang membuatkan mereka tampil dengan idea drastik menggunakan buaya yang tidak boleh dirasuah.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.