Lewatkan lawatan tahanan ISA tindakan zalim: Chandra
Polis hari ini dikecam kerana melambat-lambatkan keizinan kepada keluarga untuk melawat 10 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah ditangkap lebih enam minggu sejak 10 April lalu.
"Parti Keadilan Nasional menganggap kelambatan ini sebagai suatu bentuk kezaliman," kata Timbalan Presiden parti itu Dr Chandra Muzaffar dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .
"Ia (kelewatan) merupakan penganiayaan terhadap keluarga tapol (tahanan politik) yang tidak tahu di mana mangsa ISA ditahan dan macam mana keadaan fizikal dan psikologi mereka (tahanan)."
Dr Chandra, yang pernah ditahan di bawah akta yang sama dalam Operasi Lalang 1987, turut menyifatkan sikap polis itu sebagai "tidak berperikemanusiaan."
Polis semalam membenarkan Naib Presiden Keadilan Tian Chua dilawati keluarganya selepas 43 hari ditahan, sementara hari ini penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dibenarkan berbuat demikian selepas 44 hari ditahan.
Dua lagi aktivis Pemuda parti itu, N Gobalakrishnan dan Abdul Ghani Haroon tidak mendapat sebarang jawapan daripada polis setakat ini walau masing-masing ditahan sejak 10 dan 11 April lalu. Sementara aktivis hak asasi Badaruddin Ismail yang ditahan pada 26 April juga belum menerima sebarang jawapan berhubung lawatan tersebut.
Dr Chandra berkata lagi, tindakan itu menunjukkan polis sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka.
"Sikap ini ditafsirkan oleh orang ramai sebagai bukti bahawa polis tidak lagi mendukung lunas-lunas perikemanusiaan," katanya.
ISA disalahgunakan
"Pelaksanaan ISA yang begitu kejam menunjukkan sekali lagi bahawa akta itu adalah undang-undang yang boleh disalahgunakan dengan mudah."
Sebelum itu polis membenarkan keluarga masing-masing melawat lima daripada 10 tahanan itu 3 hingga 8 Mei lalu. Mereka adalah pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin dan pemimpin-pemimpin Keadilan Dr Badrul Amin Bahron, Mohamad Ezam Mohd Nor, Saari Sungib dan Lokman Noor Adam.
Kelima-lima orang ini ditahan antara 10 hingga 24 April lalu.
Jika dibandingkan operasi tangkapan ISA pada 1987, kebanyakan tahanan dibenarkan lawatan keluarga dalam tempoh dua minggu, kata Dr Chandra lagi. Pada tahun itu, lebih 100 aktivis pembangkang dan badan bukan kerajaan ditahan di bawah akta itu.
Sementara itu Keadilan mendesak bekas Ketua Bahagian Umno Baling, Datuk Zainol Md Isa, yang dilucutkan jawatannya itu kerana politik wang meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu, Kedah.
Penolong Setiausaha Pemuda Keadilan, Diong Chi Tzuoh dalam kenyataan medianya menegaskan Zainol perlu berbuat demikian jika pemimpin Umno itu "seorang yang bertanggungjawab dan ingin mempertahankan maruahnya."
Zainol semalam meletakkan jawatan sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan (exco) negeri itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Isnin lalu tidak menerima rayuannya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.