Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pembukaan pusat teknologi maklumat (IT) di bangunan Mara, Kuala lumpur hari ini bukan untuk bersaing dengan pusat barangan IT lain mahu pun Plaza Low Yat.
Sebaliknya, Ismail Sabri berkata ia semata-mata mahu memberi peluang kepada peniaga Melayu dan bumiputera.
"Kita sebenarnya tiada tujuan berlawan dengan sesiapa. Jangan ada tanggapan bahawa tujuan kita buka Mara Digital ini adalah untuk berlawan dengan pusat IT lain seperti Low Yat.
"Kita buat ini untuk beri peluang kepada peniaga Melayu dan Bumiputera,” kata Ismail pada sidang media selepas majlis pelancaran Mara Digital di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata walaupun bangunan yang kini dinamakan Mara Digital itu kurang dikunjungi pembeli namun beliau yakin selepas kemasukan peniaga di tingkat 3, ia dapat menarik tumpuan semua kaum.
"Walaupun pusat membeli-belah adalah 100 peratus dimiliki bumiputera, saya berharap pengguna yang datang terdiri daripada semua kaum.
"Memang betul, dulu agak suram. Tetapi kita harap dengan pembukaan Mara Digital ini, bangunan ini akan jadi tumpuan semua golongan," katanya.
Mara Digital yang digelar Plaza Low Yat 2 itu dibuat susulan ketegangan yang tercetus di Bukit Bintang pada Julai lalu.
Bermula dengan pertikaian telefon bimbit, ia kemudian merebak menjadi pergaduhan dan sesetengah pihak mengaitkannya dengan isu perkauman.
Bagaimanapun polis pada pertengahan bulan lalu mengesahkan insiden itu tiada kaitan dengan isu perkauman .
