Masyarakat India Muslim tidak mahu dikenali sebagai mamak kerana mereka menghadapi pelbagai masalah apabila berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan, kata Presiden Liga Muslim Malaysia, Haja Najmudeen Kader.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mahu dikenali sebagai bumiputera, sama seperti orang Melayu, kerana mereka juga beragama Islam dan menurut perlembagaan, mereka layak diiktiraf sebagai bumiputera.

Haja Najmudeen berkata, masyarakat mamak menjadi mangsa diskriminasi oleh agensi kerajaan seperti pihak hospital, Mara dan beberapa agensi kerajaan lain.

"Pelajar mamak tidak boleh memasuki Universiti Teknologi Mara (Uitm) kerana pusat pengajian tinggi awam itu khusus untuk pelajar bumiputera sahaja. Banyak pelajar kami mengadu kerana tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran ke Uitm," katanya.

Liga Muslim yang ditubuhkan sejak 30 tahun lalu dan berpejabat di Pulau Pinang, dianggotai oleh 15 organisasi lain dengan seramai 10,000 ahli.

Menurutnya, mamak juga menghadapi masalah untuk mendaftarkan anak mereka yang baru lahir kerana masih ada hospital kerajaan yang menganggap mereka sebagai pendatang.

Kad pengenalan

"Jadi untuk mendaftarkan nama anak, kaum mamak terpaksa mendapatkan surat sokongan dari pihak polis dan sebagainya. Masalahnya, pekerja hospital masih mencatatkan identiti mereka sebagai India Muslim," katanya lagi.

Haja Najmudeen berkata, ramai pegawai kerajaan masih menganggap masyarakat India Muslim sebagai masyarakat Tamil kerana percakapan dan identiti di kad pengenalan.

Beberapa tahun lalu, sekumpulan pemimpin masyarakat mamak menemui pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi membincangkan masalah tersebut, tetapi ditolak.

Bagaimanapun, kata Haja Najmudeen, mereka akan menemui pegawai KDN sekali lagi bagi menyelesaikan masalah tersebut. Beliau juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi campurtangan.

"Salah satu syarat menjadi bumiputera ialah ibu atau bapa beragama Islam dan berbahasa Melayu tetapi mengapa mamak tidak dipanggil bumiputera?" ujarnya.

Malah, katanya lagi, masih ada lagi masyarakat termasuk orang Melayu yang memandang rendah kepada mamak, meskipun mereka sama-sama beragama Islam.

Arahan tidak seragam

Masalah tersebut, katanya, berlaku kerana ketiadaan keseragaman arahan daripada agensi-agensi kerajaan berhubung dengan layanan yang perlu diberikan kepada masyarakat mamak.

"Di Pulau Pinang, kami tidak begitu bermasalah kerana mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan negeri. Tetapi kami mendapat laporan ada mamak di tempat lain dilayan macam masyarakat kelas kedua," katanya lagi.

Mengenai masih ada masyarakat mamak yang menggunakan nama al (anak lelaki) dan ap (anak perempuan), Haja Najmudeen berkata, ia berlaku kerana mereka sendiri yang mahu mengekalkannya sebagai identiti keluarga.

"Nama seperti ini menjadi perkara biasa di Amerika dan Eropah seperti nama Smith, Richard dan sebagainya," tambahnya.

Beliau berkata, adalah tidak wajar kepada mana-mana pihak memandang rendah kepada masyarakat mamak kerana mereka juga memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan negara.

Katanya, masyarakat mamak yang berjaya boleh dilihat dalam pelbagai bidang perniagaan, sosial, sukan dan politik.