Dewan Negara hari ini diberitahu kerajaan sedang menggubal kod kandungan untuk mengawal fitnah atau berita palsu yang disebarkan melalui Internet.

Setiausaha Parlimen di Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Chia Kwang Chye berkata kod itu diwujudkan secara rundingan melalui satu kumpulan yang dinamakan forum kandungan.

Beliau menjawab soalan anggota Dewan Negara dari Perlis, Karim Salleh, yang ingin mengetahui langkah-langkah kementerian itu mencegah penyalahgunaan Internet seperti pencerobohan, menfitnah dan penyebaran khabar angin yang boleh mengancam keamanan serta kedaulatan negara.

"Kerajaan tidak membuat tapisan ke atas bahan-bahan (penerbitan dan komunikasi) dalam Internet," katanya pagi tadi.

Chia bagaimanapun berkata seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan kandungan berunsur fitnah atau berita palsu.

Jika sabit kesalahan itu, seseorang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Perkara (3) seksyen itu menyebutkan seseorang yang telah disabitkan kesalahan, tetapi masih meneruskannya, boleh didenda RM1,000 setiap hari bagi hari-hari jenayah itu diulangi.

"Pihak-pihak berkenaan termasuk wakil-wakil media massa, penyiaran termasuk pembekal kandungan telah menubuhkan satu badan yang didaftarkan di bawah undang-undang ini," kata Chia lagi, menjawab soalan tambahan seorang lagi anggota dewan, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman.

Abdul Aziz ingin penjelasan jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan sesuatu kandungan Internet itu bersifat fitnah.

Chia juga menjelaskan, kementerian merancang untuk menubuhkan 'jawatankuasa penasihat Internet negara' bagi menyelaras dan mengawal selia aktiviti dan penggunaan Internet di negara ini.

"Jawatankuasa ini akan bertindak mengenai aspek-aspek penggubalan dasar, perundangan dan kawal selia," katanya.

Untuk jangka panjang, kerajaan akan memberikan kesedaran kepada pengguna khususnya generasi muda supaya bijak memilih maklumat dan menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan di alam siber.