RMK-8 berjaya jika tiada rasuah: TPM
Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang dibentangkan di Dewan Rakyat bulan lalu boleh dijayakan jika pegawai kerajaan menghindari amalan rasuah dan penyelewengan.
"Penyelewengan ataupun perbuatan rasuah bukan sahaja salah dari segi undang-undang tetapi ia menaikkan kos pembangunan dan mewujudkan pasaran yang tidak efisien (cekap)," kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Negara hari ini.
"Tanpa adanya pegawai-pegawai yang cekap, berdedikasi, bertanggungjawab dan yang berpegang kepada prinsip-prinsip yang menghindari amalan rasuah, penyelewengan dan kelemahan disiplin, segala rancangan (pembangunan) akan gagal di peringkat pelaksanaan."
Dalam rancangan lima tahun itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM110 bilion.
Ketika membentangkan usul RMK-8 pagi tadi, beliau turut berkata kerajaan telah berjaya memulihkan semula ekonomi daripada kegawatan serta membangunkannya dengan lebih pesat.
"Semua angka tunjuk menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia bukan sahaja telah pulih (daripada krisis kewangan Asia pada 1997), tetapi pulih lebih baik dari negara-negara lain yang terlibat di rantau ini," kata Abdullah, diikuti tepukan anggota dewan.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 7.4 peratus pada tahun 1998, tetapi pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus dicapai pada tahun 1999 dan 8.5 peratus tahun lalu, tambahnya.
Beliau memberitahu dewan, rizab asing negara meningkat kepada 27 bilion dolar Amerika daripada 20 bilion dolar pada 1997. Sementara pengangguran berada di sekitar 3 peratus dan inflasi pula masih di tahap rendah.
Pendapatan per kapita meningkat kepada RM13,360 pada tahun lalu daripada daripada RM12,160 tiga tahun sebelumnya.
Abdullah berkata kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi tahun ini merosot akibat kelembapan ekonomi Amerika Syarikat tetapi beberapa langkah termasuk dasar pengembangan fiskal telah diperkenalkan untuk meningkatkan penggunaan pelaburan dalam negeri.
"Untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi negara kepada ekonomi Amerika Syarikat, kerajaan juga akan memperluaskan pasaran sasaran bagi eksport," katanya

