Kerajaan nafi Proton bermutu rendah
Kerajaan menafikan kenderaan keluaran Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) untuk edaran dalam negeri bermutu rendah dan harganya tinggi berbanding model untuk eksport.
"Dakwaan ini adalah tidak benar," kata Setiausaha Parlimen di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Fu Ah Kiow di Dewan Negara pagi tadi.
Katanya, Proton telah memperolehi kemahiran dari luar negara, misalnya melalui kerjasama Lotus Engineering di United Kingdom, Sauber di Switzerland dan Institut Kajian Michigan di Amerika Syarikat agar mutu sentiasa terjamin.
Menjawab soalan seorang anggota dewan, Datuk Long Jidin, Fu berkata kualiti dan keselamatan sentiasa diberi penekanan bagi menghadapi persaingan pasaran sama ada dalam atau luar negeri.
Proton juga melabur dalam penyelidikan dan pembangunan rekacipta kenderaan, tambahnya.
"Di negara ini, harga kenderaan termasuk aksesori wajib keluaran tempatan dikawal oleh kerajaan untuk memastikan pelanggan tidak dibebani dengan kos kenderaan yang terlalu tinggi," kata Fu.
Sementera itu anggota dewan dari Kedah, Bakri Ali Mahamad ingin mengetahui keuntungan yang akan diterima oleh rakyat negara ini apabila wujudnya Kawasan Dagangan Bebas Asean (Afta) pada tahun 2003.
Afta adalah kerjasama ekonomi di peringkat serantau bagi menjadikan Asean destinasi pelaburan berdaya saing di samping membuka pasaran dan peluang perniagaan kepada negara-negara anggota.
Fu berkata selepas menyertai Afta, pasaran pengusaha Malaysia tidak terhad kepada 22 juta penduduk negara ini tetapi terbuka luas kepada lebih 500 juta penduduk Asean.
"Afta bukan hanya memberikan manfaat kepada para pengeluar tetapi juga kepada pengguna yang akan mempunyai lebih banyak pilihan produk di pasaran dengan harga yang lebih kompetitif serta produk yang lebih berkualiti," jelas Fu, sambil menambah, kerjasama itu menyebabkan penurunan harga barangan dan secara langsung meningkatkan kuasa beli pengguna.
Katanya, selaras dengan persaingan pasaran, tumpuan utama Proton pada masa ini adalah mengurangkan kos pembuatan, meningkatkan kualiti keluaran dan perkhidmatan selepas jualan.

