Keadaan di Aceh akibat dilanda bencana tsunami telah menimbulkan persoalan dan perbahasan di kalangan mufti di Malaysia mengenai cara terbaik untuk menyempurnakan pengkebumian ribuan korban bencana itu.

Persoalan ialah sama ada ribuan mayat-mayat yang bergelimpangan dan mulai reput itu perlu dikebumikan mengikut amalan biasa agama atau dibakar bagi mengelak wabak penyakit yang mungkin mengancam mangsa yang masih hidup.

Lebih 104,000 terkorban di Aceh selepas dilanda tsunami pada 26 Disember lalu, yang turut mengakibatkan kematian dan kemusnahan besar di sebelas negara, termasuk Malaysia.

Perbahasan tersebut dicetuskan dalam akhbar-akhbar berbahasa berbahasa Malaysia tempatan, yang setiap hari menyiarkan berita dan gambar mengenai situasi terkini di Aceh,

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, ketika dihubungi malaysiakini untuk mendapatkan pendangannya mengenai perkara itu, berkata tiada kompromi dalam upacara pengkebumian jenazah umat Islam.

Menurutnya, empat perkara penting dalam urusan pengkebumian jenazah mengikut Islam ialah membersih, menutup, membaca doa dan menanam jenazah.

Bagaimanapun, katanya, keempat-empat keperluan ini tidak semestinya disempurnakan sepenuhnya bagi setiap jenazah ketika berlaku bencana.

Kebumi beramai-ramai

"Sebagai contohnya, jenazah-jenazah boleh disembur dengan air. Setiap jenazah tidak perlu dibalut dengan kain, tetapi boleh ditutup beramai-ramai dengan kain ataupun plastik, dan jenazah-jenazah itu boleh dikebumikan secara beramai-ramai," katanya.

Menurutnya, Allah memberi 'penghormatan istimewa' kepada anak-anak Adam dan seterusnya terhadap jenazah mereka, mengikut cara yang ditentukan.

"Tidak timbul persoalan untuk membakar jenazah-jenazah orang Islam (atas alasan kesihatan). Penyakit (berlaku dan) merebak kerana persekitaran yang tidak bersih, bukannya kerana jenazah-jenazah tersebut.

"Malah, jika kita perlu menguruskan mayat (secara berlainan), mereka boleh disembur (dengan ubat pembunuh kuman) untuk mencegah penyakit. Saya pasti kita mempunyai kaedah dan teknologi untuk melakukan seperlunya," tambahnya.

Tamyes berkata, dalam keadaan sekarang, Indonesia boleh meminta bantuan negara-negara jirannya jika republik itu tidak mampu menguruskan pengkebumian mangsa tsunami mengikut kaedah Islam.

"Jika kita boleh melakukan pengkebumian yang sempurna untuk pengidap penyakit Aids, maka saya pasti jenazah korban (bencana) juga boleh disempurnakan sedemikian," tambahnya.

Dua pandangan

Pandangan Tamyes itu sama dengan pandangan Mufti Johor, Datuk Noh Gadut, yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia, sebagai berkata, tindakan membakar mayat dilihat sebagai tidak menghormati jenazah.

"Pembakaran mayat tidak dibenarkan. Selain daripada menyeksa mayat, ia juga menyerupai upacara yang dilakukan oleh agama-agama lain," katanya dalam laporan tersebut Jumaat lalu.

Dalam laporan yang sama, Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria pula dipetik sebagai berkata, kebajikan makhluk yang hidup melebihi keutamaan daripada soal penghormatan untuk mayat.

Katanya, di Aceh, ulama dan pakar agama patut memutuskan sama ada lebih ramai yang hidup akan turut terkorban jika mayat-mayat tersebut tidak dibakar," katanya.

Harussani menegaskan bahawa pembakaran mayat dibenarkan kerana ianya adalah situasi darurat, yang memberi pengecualian terhadap amalan yang biasa dilakukan.

Sejak wilayah Aceh ditimpa bencana tsunami, keutamaan ditumpukan kepada usaha untuk menyemadikan ribuan mayat yang bergelimpangan dan sudah mulai reput.

Bagaimanapun, kini berlaku masalah kekurangan tenaga manusia dan peralatan yang mencukupi untuk mengendalikan menguruskan pengkebumian mayat-mayat tersebut.