Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Alasan yang diberikan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk menggulingkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat tidak kukuh dan tidak meyakinkan.

Penganalisis politik Prof Ahmad Atory Hussain berpendapat, empat sebab yang dikatakan punca Umno Kedah hilang keyakinan terhadap menteri besar mereka itu juga kurang jelas dan boleh dipertikaikan.

"Saya rasa faktor dan alasan pihak Ahmad Bashah tentang perlunya pertukaran menteri besar tak berapa kukuh. Apabila alasannya tidak kukuh, ini menyebabkan rakyat mungkin tak faham dan akan jadi huru-hara. Kalau dia beri alasan kukuh, itu lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Selain itu beliau turut memberikan contoh situasi yang berlaku dalam kes melibatkan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said apabila beliau digugurkan sebagai menteri besar pada Mei 2014.

Menurut Ahmad Atory, ketika itu terdapat alasan kukuh diberikan untuk menyingkirkan Ahmad memandangkan beliau terlibat dengan beberapa isu berkaitan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, keadaan berbeza di Kedah.

"Segala alasan yang dia (Ahmad Bashah) beri boleh dipersoalkan dan cara Ahmad Bashah menggunakan ayatnya untuk alasan yang diberi juga tidak meyakinkan. Kalau dalam esei, saya bagi dia C-," kata bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu ambil ketawa.

Minta PM campur tangan

Semalam, Ahmad Bashah memulakan perang terbuka terhadap Mukhriz dengan mengisytiharkan bahawa pemimpin Umno di negeri itu telah "hilang keyakinan" terhadap kepimpinan menteri besar Kedah itu.

Ahmad Bashah juga menyenaraikan empat sebab yang dikatakan sebagai punca mereka hilangan keyakinan Umno Kedah terhadap Mukhriz, iaitu kegagalan Mukhriz untuk menyatukan parti, kekurangan perancangan strategik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kegagalannya memimpin dan menggerakkan jentera parti serta ketidakupayaan menguruskan pentadbiran negeri dengan berkesan.

Beliau turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

Ahmad Atory berpendapat sekiranya presiden Umno itu tidak mengambil langkah berjaga-jaga menangani isu tersebut, ada kemungkinan keyakinan rakyat kepada Umno - khususnya di Kedah - akan menurun.

Malah, beliau juga melahirkan kebimbangan sekiranya Umno Kedah akan berputih mata memandangkan parti itu hanya memiliki lebihan enam kerusi dalam DUN selepas pilihan raya umum lalu.

Dalam pilihan raya umum ke-13, BN Kedah memenangi 21 buah kerusi manakala parti pembangkang 15.

"Kalau Najib tak berhati-hati, ia boleh menyebabkan ramai hilang keyakinan khususnya terhadap Umno Kedah. Saya risau Umno akan berputih mata. Tak pasal-pasal nanti PAS pula akan jadi menteri besar.

"Saya cadangkan supaya Najib tangguhkan dulu untuk campur tangan dalam isu ini dan tunggu sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Jangan ikut nafsu pihak yang membuat kenyataan media itu. (Perdana menteri) perlu bersabar dan jangan cepat melatah kerana silap-silap langkah Umno Kedah nanti akan jadi pembangkang.

"Umno bukan kuat sangat di Kedah," katanya sambil meramalkan kemungkinan selepas ini negeri yang akan mengalami krisis yang sama ialah di Johor dan Perak.

Pembangkang 'selamatkan' BN

Sementara itu, seorang lagi penganalisis Dr Jeniri Amir pula berpendapat, Najib selaku pemimpin Umno tidak boleh memandang ringan sokongan rakyat terhadap timbalannnya Tan Sri Muhyiddin Yassin, naibnya Datuk Seri Shafie Apdal serta Mukhriz.

Jelas Jeniri ( gambar ), sekiranya krisis melibatkan pimpinan parti itu terus berlaku, berkemungkinan sokongan rakyat Kedah, Johor dan Sabah terhadap Umno semakin terhakis.

Beliau juga berpendapat dengan krisis yang berterusan, ia akan menyebabkan BN akan kehilangan kerusi yang lebih banyak pada pilihan raya umum akan datang.

"Dengan perkembangan terbaru di Kedah ini, Najib tidak boleh memandang ringan kekuatan Mukhriz, malah Muhyiddin dan Shafie juga. Kalau BN lemah, akan terhakis sokongan di Kedah, Johor dan Sabah.

"Dengan situasi ini berkemungkinan BN memang boleh menang (PRU) tapi prestasi Najib akan menurun dan mungkin pisang akan berbuah dua kali seperti Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) - reputasi teruk dan orang minta berundur.

"Keadaan Umno sekarang dah malap dan akan bertambah malap. Umno perlu elakkan sebarang konflik di peringkat negeri kerana ia bukan sahaja menyebabkan perpecahan ahli, tapi menjelang pilihan raya umum nanti akan buat mereka hilang kerusi lebih banyak," katanya.

Bagaimanapun, pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, BN kini juga bernasib baik dan masih boleh diterima rakyat memandangkan pembangkang di negara ini juga mengalami konflik antara parti.

Keadaan yang berlaku terhadap parti pembangkang itu sekaligus menjadi 'penyelamat' kepada BN yang kini sedang dilanda masalah, katanya lagi.

"Mereka (BN) bernasib baik sekarang sebab pakatan pembangkang juga terjerumus dalam konflik yang tak kurang hebatnya. Kalaulah pakatan pembangkang padu, saya fikir BN sudah berada dalam kedudukan yang genting.

"Keadaan pembangkang sekarang menyelamatkan BN. Tapi kita masih punya dua tahun dan apa sahaja boleh berlaku," ujarnya.

Lihat Komen
ADS