Umno mengharamkan politik wang ketika pemilihan parti tetapi menghalalkan perkara itu dalam pilihanraya, kata Timbalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini.

"Kononnya haramkan politik wang dalam Umno, (tetapi) dalam pilihanraya mereka halalkan. Tetapi dalam politik Umno, ada (politik wang) yang mereka halalkan dan haramkan," katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Pemuda di Markaz Tarbiyah PAS, Gombak pagi tadi.

Abdul Hadi juga mempertikaikan tindakan polis menahan 10 pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lalu.

"Adakah polis menangkap pencuri berdasarkan ramalan (bahawa pencuri) hendak merompak," katanya, mengulas tuduhan polis bahawa aktivis-aktivis itu "cuba menjatuhkan kerajaan dengan cara militan."

Abdul Hadi, juga Menteri Besar Terengganu, berkata walaupun menghadapi tekanan kerajaan pusat, misalnya pembatalan bayaran royalti minyak, tetapi negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS masih berjaya menarik lebih ramai pelancong.

"Terminal (lapangan terbang) Kota Bharu dan Kuala Terengganu semakin sesak, pelancong ramai datang. Dulu mereka kata apabila parti Islam memerintah, pelancong takut hendak datang," katanya kepada kira-kira 200 perwakilan.

Beliau mendakwa tekanan terhadap kerajaan PAS itu dibuat kerana bimbang pemerintahan parti itu berjaya menegakkan keadilan.

Beliau turut menasihatkan perwakilan Pemuda bersedia memperbetulkan diri sendiri.

"Kita berharap Pemuda mengambil peluang membuat penilaian (dalam Muktamar ini) daripada aktiviti yang telah dilakukan dengan seadil-adilnya," katanya. "Jangan syok sendiri, jangan marah dengan kritikan-kritikan, kerana kritikan adalah tarbiyah."

Beliau menambah, mereka yang berbohong kepada pemimpin untuk tujuan mengampu boleh menghancurkan negara dan menegaskan Pemuda PAS perlu berani mengkritik demi kebenaran.

"(Beliau) membuat kenyataan tanpa mengira perlembagaan mereka (Umno)," katanya, mengulas kenyataan Presiden Umno Dr Mahahir Mohamad yang membenarkan parti Melayu itu dianggotai oleh masyarakat Cina Sabah daripada Angkatan Keadilan Rakyat (Akar).