Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua pendakwa Switzerland berkata semalam bahawa satu siasatan ke atas firma milik kerajaan, 1MDB, didakwa telah mendedahkan bahawa kira-kira AS$4 bilion (RM16.6 bilion) nampaknya telah diselewengkan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan Malaysia.

Pejabat Peguam Negara Switzerland Michael Lauber berkata ia telah secara rasmi meminta Malaysia membantu siasatannya terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang negara itu yang berkaitan dengan dakwaan sogokan kepada pegawai asing, salah laku di pejabat awam, pengubahan wang haram dan dakwaan berlaku jenayah salah urus di firma itu.

Katanya, ia telah mengenal pasti empat kes dakwaan pelakuan jenayah.

1MDB, yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, telah disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia berikutan tuduhan salah urus kewangan dan rasuah.

Awal minggu ini, Peguam Negara Malaysia membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan jenayah atau rasuah, dan mengisytiharkan bahawa AS$681 juta yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya adalah pemberian daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pejabat Peguam Negara Malaysia, dalam satu kenyataan hari ini, berkata ia akan mengambil semua langkah yang mungkin untuk membuat susulan dan bekerjasama dengan rakan sejawatannya dari Switzerland, tetapi menegaskan bahawa siasatan terhadap derma kepada Najib adalah berasingan sepenuhnya daripada siasatan terhadap 1MDB.

Najib telah secara konsisten menafikan sebarang salah laku, dan berkata dana itu adalah derma politik dan beliau tidak mengambil sebarang dana untuk kepentingan peribadi.

Dalam kenyataannya memohon bantuan Malaysia, pejabat Peguam Negara Switzerland berkata wang yang dipercayai telah diselewengkan itu, dikenal pasti untuk pelaburan dalam projek-projek pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia.

Ia menambah bahawa setiap kes terlibat tindakan yang sistematik yang dilakukan melalui struktur kewangan yang kompleks.

1MDB berkata ia tidak dihubungi oleh pihak berkuasa perundangan asing berhubung sebarang perkara yang berkaitan dengan syarikat itu

Pihak berkuasa Switzerland memulakan siasatan pada Ogos lepas ke atas 1MDB kerana disyaki merasuah pegawai awam asing, dakwaan pengurusan kepentingan awam yang tidak jujur ​​dan pengubahan wang haram.

Pejabat Lauber berkata sebahagian kecil daripada wang yang nampaknya diselewengkan itu, telah dipindahkan ke akaun di Switzerland yang dipegang oleh bekas pegawai-pegawai awam Malaysia serta pegawai dan bekas pegawai awam Emiriyah Arab Bersatu.

Empat kes yang disyaki pelakuan jenayah itu berkaitan dengan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, PetroSaudi, Genting/Tanjong dan ADMIC di antara tahun 2009 dan 2013, katanya.

Ketika mengumumkan penemuannya minggu lalu, peguam negara Malaysia telah meminta agensi anti-rasuah di negara ini supaya menutup semua siasatan terhadap SRC dan wang yang disimpan di dalam akaun Najib.

Pegawai-pegawai dari agensi anti-rasuah Malaysia tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai kenyataan pihak berkuasa Switzerland itu. Genting dan Tanjong tidak menjawab panggilan untuk mendapatkan komen. PetroSaudi dan Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC) juga tidak dapat dihubungi.

Kenyataan Switzerland itu berkata Lauber telah membincangkan kes 1MDB dengan rakan sejawatannya dari Malaysia pada mesyuarat di Zurich pada bulan September.

1MDB juga disiasat oleh agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang di Hong Kong dan Amerika Syarikat, demikian menurut media dan sumber-sumber lain.

Tony Pua, ahli Parlimen Malaysia dengan parti pembangkang DAP menggesa Peguam Negara Malaysia bekerjasama sepenuhnya dengan agensi penyiasat asing itu.

Kerjasama itu, katanya, bukan sahaja untuk mengenal pasti pelakunya, tetapi juga akan menghapuskan persepsi bahawa Peguam Negara Malaysia berat sebelah memihak kepada perdana menteri.

Suruhanjaya anti-rasuah Malaysia telah berkata ia akan mendapatkan semakan terhadap keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara yang membersihkan Najib. - [Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS