Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Era Hang Tuah sudah mati, kini tiba masa Hang Jebat

ULASAN Kata orang, jika hendak bercinta dengan kerjaya, kerjalah di bidang yang kita cintai. Ini sesuatu yang saya sendiri lalui dan boleh akui.

Tiada perasaan yang lebih jitu sebagai pencinta kata-kata - yang ditulis, disebut ataupun dirakam - tiada lain yang melirik tali-temali hati saya, daripada bangun tidur setiap hari untuk mengharungi liku hidup seorang wartawan.

Tetapi, walaupun ia sesuatu yang acapkali memberi kepuasan, bidang kewartawanan juga merupakan cabaran yang maha hebat kerana ia mengheret saya ke kancah pertembungan dengan diri saya sendiri.

Untuk memendekkan cerita, saya perlu nyatakan di sini yang saya adalah seorang yang percaya akan pentingnya institusi dan pentadbiran kerajaan.

Saya percaya akan pentingnya untuk segenap institusi kerajaan diperkasakan. Saya percaya yang kita mesti hormat kepada pentadbiran dan pemimpin yang dipilih.

Saya juga percaya yang kita perlu taat kepada negara, dan adalah menjadi tugas rakyat untuk menjaga keselamatan tanah tumpah darah kita ini.

Era Hang Jebat

Sebagai wartawan, agak susah buat saya untuk menzahirkan laporan yang cenderung menunjukkan kedaifan mereka yang memimpin kita.

Saya perlu tegas memaksa diri bila perlu mengheret institusi kerajaan ke kancah kritikan.

Kadang-kadang menulis tentang redupnya tiang-tiang demokrasi dalam kerajaan kita boleh membuatkan saya hampir mual.

Macam tak molek rasanya bila terpaksa menelanjangkan keburukan kerajaan kita.

Tapi bila difikirkan semula, apa yang membantu saya menghadapi ranjau ini, adalah kesedaran yang institusi dan pentadbiran kerajaan hanyalah berguna jika ia bertanggungjawab dan berhemah.

Malang sekali, kedua-duanya hampir lupus dari pihak pemerintah kita sekarang, sekalipun masih wujud rata-rata pada diri penjawat awam.

Tapi ia mungkin sudah lama pupus dari intipati dan diri pihak yang memegang tampuk pemerintahan.
Saya mula sedar yang kesetiaan itu tidak boleh membabi buta, tetapi mestilah ada timbal-balasnya.

Walaupun saya masih percaya akan perlunya hormat kepada institiusi pentadbiran, saya sudah celik mata akan hakikat yang era Hang Tuah sudah berlalu, dan masa Hang Jebat sudah tiba.

Tiada kehormatan di Putrajaya

Bila sudah tiada sisa kehormatan di Putrajaya, kita sebagai rakyat perlu memalingkan muka.

Tiba masa dan juga ketika, untuk diputihkan segala yang hitam, untuk kita mencari sirna yang sudah tenggelam.

Ya, saya masih lagi percaya yang pentadbiran itu mesti dihormati dan diperkasakan. Sampai mati pun saya akan begini adanya.

Namun cara bagaimana untuk menzahirkan kesetiaan itu boleh berbeda. Bukan secara taat membabi buta, tetapi dengan melaungkan kata-kata dan menzahirkan berita untuk menelanjangkan segala kepincangan kerajaan, agar rakyat sedar dan mengasak kepada perubahan.

Agar pihak berwajib sedar yang kesetiaan kita kepada mereka hanyalah sesuatu yang akan lahir jika mereka juga setia kepada kita.

Ya, saya masih lagi menghormati pentadbiran negara, tetapi hanya jika ia boleh dipercayai, bertanggungjawab, berhemah dan betul betul menjaga kebajikan rakyat jelata.

Dengan ampun kepada Hang Tuah, keris Hang Jebat perlu kita hunus dan kita julang. Kerana bila nafsu pihak tertentu sudah beraja di mata bersultan di hati, sudah menjadi tugas kita untuk menyanggah segala kezaliman ini.

Lihat Komen
ADS