Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fathul Bari terkilan dengan dakwaan MAIJ
Diterbitkan:  Feb 3, 2016 12:00 PM
Dikemaskini: 4:06 AM

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, beliau terkilan dengan tuduhan dilemparkan ke atas dirinya apabila tersenarai sebagai antara individu yang mengelirukan dan dilarang daripada berceramah atau mengajar agama Islam di Johor.

Katanya, tuduhan kepada dirinya serta beberapa penceramah lain dianggap tidak adil dan perlu diselesaikan dengan cara baik, lapor Sinar Harian.

"Bagi saya fitnah di akhir zaman ini merupakan satu makanan bagi golongan yang tidak bertanggungjawab, cuma sebagai seorang Muslim dan manusia biasa, sudah tentu saya terkilan dengan situasi yang berlaku.

"Cuma, mendepani situasi ini satu kewajipan bagi setiap yang kena fitnah... kena pertahankanlah. Kita tidak terlibat dalam hal-hal seperti itu.

"Fitnah mengkafirkan umat Islam itu satu perkara sangat besar sedangkan kita ini berjuang berkenaan dengan penyebutan takfiri ini. Ada disiplin-disiplinnya. Jadi sangat bercanggah dengan yang didakwa ke atas kita. Tapi saya serahkan kepada pihak-pihak yang membuat penelitian semula (tentang) dari mana sumber-sumber tersebut," kata Fathul.

Ditanya mengenai dakwaan tersebut, Fathul juga secara berseloroh berkata:

"Mungkin saya banyak mengkafirkan orang kot, itu yang mereka tak bagi (ceramah). Ramai betul saya kafirkan umat Islam. Masya-Allah."

Selain itu, exco Pemuda Umno itu juga mencadangkan supaya pihak yang mendakwa beliau dan agamawan lain mengadakan perbincangan sama ada secara terbuka atau tertutup.

"Jangan bina hujah atas sentimen. Kamu suka, kami tak suka atau kamu tidak suka, kami suka. Ini tidak akan menyelesaikan masalah. Sebab dalam Islam ada perbezaan pendapat tetapi cara menanganinya bukan dengan cara mengharamkan, dakwaan atau fitnah orang.

"Tak setuju dengan pandangan, fine ... anda boleh nyatakan tidak setuju dengan pandangan saya atau sesiapapun tapi untuk tuduh, mengkafirkan orang, itu satu tuduhan yang berat dan saya kira pihak yang menuduh sekiranya betul, jemput dan berbincang.

"Selesaikan dengan cara harmoni dan baik," katanya lagi.

Akhir Disember tahun lalu, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mengeluarkan arahan larangan berceramah atau mengajar agama Islam di Johor ke atas 16 orang penceramah.

Selain Fathul, turut dilarang ialan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri didakwa sebagai individu "mengelirukan" dan dilarang daripada berceramah di Johor.

Bagaimanapun, Mohd Asri menafikan dakwaan tersebut dengan menganggap perkara itu sebagai satu "fitnah".

Lihat Komen
ADS