Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Larangan berceramah di Johor, mufti Perlis dakwa 'difitnah'

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa tindakan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang menyenaraikannya sebagai individu "mengelirukan" dan melarang beliau daripada berceramah di negeri itu sebagai satu "fitnah".

Sehubungan itu, Mohd Asri menuntut supaya pihak yang mendakwa beliau dengan gelaran tersebut supaya mengemukakan bukti.

Satu salinan yang kelihatan seperti dokumen oleh MAIJ kepada Sultan Johor, menyenaraikan 16 orang individu yang didakwa sebagai penceramah yang menimbulkan kekeliruan umat Islam dan tidak berteraskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Imej salinan dokumen tersebut diedarkan melalui Whatsapp dan mempunyai tulisan "setuju" bertarikh 31 Disember 2015 di sebelah atas kanan dokumen itu.

"Ia adalah satu fitnah. Saya mencabar pihak pemfitnah itu membuktikannya. Saya rasa, mereka patut disaman fitnah," kata Mohd Asri.

"Bahkan, semua yang terlibat patut bersatu mengambil tindakan undang-undang kepada pihak berkenaan. Rakyat Malaysia boleh membaca tulisan saya di internet. Apakah mereka menemui hal yang seperti ini?," kata Mohd Asri dalam aplikasi Whatsapp kepada Malaysiakini.

Selain bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu, antara nama lain yang dihalang daripada berceramah di Johor ialah Exco Pemuda Umno dan penceramah bebas Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Menurut imej salinan dokumen itu, antara bentuk pengeliruan yang didakwa dilakukan Mohd Asri ialah didakwamemfitnah institusi mufti dan memperlekehkan ulama bermazhab Syafie.

Asri berkata beliau percaya tuduhan itu dibuat berdasarkan dakwaan seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri dalam satu video yang diedarkan di talian.

Dokumen itu juga menyebut bahawa terdapat sebilangan penceramah yang datang dari luar Johor yang berceramah atau mengajar agama Islam di masjid, surau atau tempat awam boleh menimbulkan kekeliruan dan membibitkan perpecahan masyarakat khususnya umat Islam.

Sehubungan itu, Mohd Asri berkata, tindakan yang dilakukan oleh MAIJ dilihat sebagai memalukan kerana mengambil sesuatu tindakan tanpa usul periksa.

Menurutnya lagi, ramai individu yang beliau kenal dalam senarai itu tidak seperti yang didakwa.

Dokumen itu juga menyebut bahawa majlis agama Islam bersetuju menerima cadangan supaya penceramah yang disenaraikan dilarang berceramah atau mengajar agama Islam di Johor.

Sementara itu, exco Agama Johor, Abdul Mutalib Abdul Rahim pula enggan memberi sebarang respons ketika Malaysiakini meminta beliau memberi komen berhubung perkara ini.

Lihat Komen
ADS