Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah digantung daripada jawatan timbalan presiden Umno, telah digesa supaya bertaubat dan kembali membantu memulihkan keyakinan rakyat terhadap Umno.
"Buanglah sikap ego Tan Sri dan kembali bantu pulihkan keyakinan rakyat terhadap Umno dan bukan berpakat dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.
"Namun sekiranya Tan Sri merasakan terbeban dengan desakan dan kecaman pelbagai pihak dalam Umno, adalah lebih baik Tan Sri tinggalkan Umno," kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii dalam satu kenyataan hari ini.
Gesaan itu dibuat selepas Muhyiddin menghadiri sidang akhbar semalam di mana bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sekutu-sekutunya dan pelbagai pemimpin pembangkang bersama-sama menandatangani deklarasi menyeru penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Razlan berkata Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir kerana bersekongkol dengan pembangkang.
"Lebih memeranjatkan, pemimpin yang acapkali melaungkan-laungkan perjuangan atas nama Melayu dan sayangkan Umno telah memeterai kesepakatan untuk menjatuhkan perdana menteri dan presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak," tambahnya.
Menurutnya, kesepakatan 'songsang' dan 'ibarat keluarga 69' yang diketuai oleh Dr Mahathir dilihat seolah-olah sebuah gerakan yang begitu terdesak dan terpaksa bergantung harap kepada musuh politik utama hanya semata-mata ingin memenuhi tuntutan nafsu serakah.
Razlan berkata sayap Pemuda Umno itu mual dan loya melihat politik busuk dan kehancuran Umno yang direka seperti yang berlaku semasa zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Hari ini, katanya, 'permainan catur' menjatuhkan pemimpin bersambung pula ketika Najib sedang bertungkus lumus membawa Malaysia ke satu tahap terbaik dan cemerlang.
"Realitinya, rakyat semakin hari semakin bijak menilai perancangan jahat dari pemimpin yang seharusnya menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada generasi hari ini dan akan datang," katanya.
