Kerajaan berpuas hati dengan prestasi pihak pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) pada masa ini, sidang Dewan Rakyat diberitahu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam jawapan bertulis di Parlimen, berkata ini berdasarkan pengurusan haji tahunan dan status kewangannya yang kukuh.
Sehingga 31 disember 2015, katanya, nilai aset Tabung Haji berjumlah RM64.5 bilion.
Sementara itu, liabiliti Tabung Haji berjumlah RM0.7 bilion dan jumlah deposit sebelum bayaran bonus adalah sebanyak RM59.3 bilion.
Jamil Khir berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul.
Pada 26 Januari Bank Negara dilaporkan mengesahkan ia telah menghantar notis nasihat kepada Tabung Haji mengenai amalan pengurusan risikonya.
Naib presiden PKR Rafizi Ramli ada dalam satu siri sidang akhbar, mendedahkan pelaburan-pelaburan merugikan didakwa dilakukan Tabung Haji, termasuk dalam Felda Global Ventures Holdings dan syarikat membuat roti.
Rafizi juga mengulangi gesaan supaya Datuk Seri Azeez Abdul Rahim meletak jawatan sebagai pengerusi Tabung Haji jika tidak mahu badan kewangan itu dipolitikkan.
Tabung Haji turut membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pandan itu berhubung dakwaan agensi itu memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).
Dana haji dengan hampir sembilan juta pendeposit itu juga menjadi tajuk berita antarabangsa atas urus niaga tanah yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan bermasalah 1MDB.
Pengurusan atasan Tabung Haji setakat ini menafikan semua tuduhan dibuat terhadap mereka dan memberi jaminan bahawa dana pendeposit berada dalam keadaan selamat.
