Kenyataan Rais hina mahkamah diadu kepada polis
PAS membuat aduan polis hari ini terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim yang mempertikaikan kenyataan hakim minggu lalu ketika membebaskan dua aktivis reformasi daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Parti itu mendakwa kenyataan Rais itu menghina mahkamah dan sub judice (mempengaruhi prosiding mahkamah).
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dalam keputusannya itu Rabu lalu menggesa undang-undang tersebut dikaji semula.
Bagaimanapun Isnin lalu, Rais dilaporkan menyifatkan seseorang hakim tidak layak mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Saya mempercayai bahawa kenyataan Datuk Dr Rais tersebut adalah 'sub judice' disebabkan pihak Ketua Polis Negara telah pun menfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan (sic) terhadap keputusan YA (Yang Arif) Datuk Hishamuddin tersebut," kata ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Mohd Hatta Md Ramli, dalam laporannya kepada polis.
Laporan itu dibuat di balai polis Sentul, Kuala Lumpur petang tadi. Dr Mohd Hatta diiringi seorang lagi ahli jawatankuasa pusat PAS, Salehuddin Ayub, dan aktivis Pemuda PAS, peguam Hanipa Maidin.
"Dengan kenyataan (Rais) tersebut, saya mempercayai adalah sukar bagi Mahkamah Rayuan (sic), yang akan mendengar rayuan Ketua Polis Negara tersebut, untuk bersikap benar-benar bebas tanpa rasa takut dan berpihak apabila mendengar (prosiding) rayuan tersebut dan seterusnya untuk memberikan keputusan dengan adil dan saksama," adu pemimpin PAS itu lagi.
Khamis lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai menfailkan notis rayuan kepada pendaftar mahkamah Shah Alam bagi mencabar keputusan hakim tersebut yang meluluskan permohonan habeas corpus dua aktivis Pemuda Parti Keadilan Nasional, N Gobalakrishnan dan Abdul Ghani Haroon.
Rayuan ini akan didengar di Mahkamah Persekutuan.
Campur tangan
Sementara dalam kenyataan berasingan selepas laporan polis itu, Dr Mohd Hatta mendakwa ulasan Rais itu sebagai "satu bentuk campur tangan yang tidak wajar oleh pihak Eksekutif (kerajaan) terhadap badan kehakiman" dan menyifatkannya sebagai "satu penghinaan terhadap mahkamah."
Pemimpin PAS itu juga berkata Rais seolah-olah merendah-rendahkan kewibawaan hakim itu apabila mengeluarkan kenyataan seperti dilaporkan: "seseorang hakim tidak sepatutnya menentukan apakah undang-undang yang patut dipinda. Semua hakim pasti tahu perkara ini sejak mereka belajar undang-undang lagi."
Bagaimanapun Rais hari ini mempertahankan kenyataannya.
"Saya tidak berniat buruk kepada sesiapa kerana mengeluarkan kenyataan itu tetapi semata-mata untuk menjelaskan bahawa cadangan meminda undang-undang terletak ke atas ahli Parlimen dan bukan badan kehakiman," katanya seperti dilaporkan akhbar hari ini.
Rais menambah, mereka yang meragui kenyataannya itu boleh merujuk keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim Denning dan Devlin.
Majlis Peguam semalam berpendapat seseorang hakim berhak membuat ulasan terhadap penggubalan undang-undang.
Timbalan Pengerusinya Roy Rajasingham berkata, penghakiman dan keputusan hakim sering menjadi tumpuan perbincangan di kalangan peguam, ahli akademik dan orang awam.
"Justeru adalah penting bagi seseorang hakim membaca dan mentafsir undang-undang seperti yang difikirkannya dan memberikan tafsiran yang seadilnya berdasarkan bukti yang diperolehi," katanya.

