Aktivis hak asasi Badaruddin Ismail disiasat sejauh mana hubungannya dengan akhbar internet Malaysiakini.com semasa ditahan selama 40 hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kebetulan semasa ditangkap, kad (wartawan) malaysiakini ada dalam dompet saya," katanya.

Badaruddin, dikenali juga Pak Din, dibebaskan dua hari lalu. Beliau ditangkap ketika sedang bersarapan di medan selera Ulu Klang, Selangor.

Aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) itu sering menelefon akhbar itu jika terdapat perkembangan politik yang menarik, termasuklah perhimpunan penyokong pembangkang dan perbicaraan mahkamah.

"(Saya) ambil gambar, (membuat panggilan) telefon (ke pejabat)," katanya, ketika disoal siasat berkaitan kegiatannya itu.

Polis juga menyoal hubungannya dengan wartawan-wartawan malaysiakini dan beberapa tulisan yang diterbitkan akhbar itu berhubung dirinya.

Katanya, beliau menyebutkan nama-nama wartawan akhbar web itu yang dikenalinya.

Pada 26 April dan 26 Mei, malaysiakini menerbitkan surat-surat adiknya Azman Ismail. Dua pucuk surat berbahasa Inggeris itu mengecam polis dan pemimpin negara sebagai membantah tangkapan Pak Din.

Sementara pada 24 Mei, akhbar web itu menyiarkan tulisan anaknya Emelia dengan tajuk 'Bangga Ayah Ditahan ISA'. Rencana itu antara lain menggesa aktivis itu dibebaskan.

Pada 10 Mei pula, malaysiakini menerbitkan tulisan yang disumbangkan kenalannya, dikenali Saiful Lizan, berhubung kegiatan Pak Din sebagai seorang aktivis hak asasi.

Kedua-dua tulisan itu mendedahkan kegiatan sebenar Pak Din, yang didakwa sebagai seorang daripada 10 aktivis reformasi dan pemimpin Parti Keadilan Nasional yang cuba "menggunakan cara-cara militan untuk menggulingkan kerajaan."

Adik-beradik sanggup ditahan

Tambahnya, beliau berbangga mempunyai keluarga yang memahami dan memberikan sokongan kuat. Adik-beradiknya, seramai 11 orang, dan tiga anaknya menyertai pelbagai kempen bagi mendesak semua tahanan ISA dibebaskan dan akta itu dimansuhkan.

"Mereka sanggup ditahan seorang demi seorang (jika saya tidak dibebaskan)," katanya kepada malaysiakini dalam temubual khas pagi tadi.

Menceritakan pengalamannya dalam tahanan, Pak Din berkata enam pegawai polis menjalankan siasatan selama tiga sehingga enam jam setiap hari.

"Mereka (polis) profesional," jelasnya, dan menafikan dikasari sama ada secara fizikal atau mental.

Beliau ditahan dalam sebuah bilik kecil dengan beberapa kemudahan asas seperti tuala, baldi, bantal dan sepasang pakaian seragam biru.

Pak Din berpesan, tahanan ISA perlu mempunyai kekuatan mental kerana polis cuba mendapatkan maklumat dengan pelbagai kaedah psikologi.

"Pada pandangan peribadi (saya), minda (tahanan) mesti positif. (Seseorang harus) sentiasa lupakan masalah keluarga, (dan) biarkan mereka berdikari," katanya, sambil menambah beliau menyanyi di dalam bilik kurungan untuk melapangkan fikiran.

Menurutnya, berat badannya susut 3.5 kilogram dalam tempoh tahanan dan rambutnya dipotongnya pendek.

Selepas ditangkap di Taman Melawati, Pak Din dibawa ke balai polis Travers, Kuala Lumpur untuk diambil butiran peribadi. Beliau kemudiannya dibawa dengan sebuah kenderaan ke tempat yang tidak diketahui.