Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramasamy kesal label Zakir Naik sebagai ‘setan’
Diterbitkan:  Apr 12, 2016 12:30 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Timbalan Setiausaha Agung DAP, P Ramasamy melahirkan rasa kekesalannya kerana menggelar pendakwah Islam kontroversi, Dr Zakir Naik sebagai ‘setan’.

Ramasamy berkata berikutan kenyataannya itu, beliau kini dilabel sebagai anti-Islam dan anti Muslim.

“Pada 10 April 2016, saya telah memuat naik status di Facebook saya mengenai pendakwah Islam Dr Zakir Naik.

“Dalam posting saya telah memanggilnya sebagai syaitan dan menegaskan bahawa beliau memberi ucapan kebencian pada agama selain Islam

“Pada hari yang sama saya sedar perkataan setan telah menjadi viral di Internet.

“Saya menyesal jika penggunaan perkataan syaitan boleh menimbulkan keresahan dan rasa tidak puas hati di kalangan orang Islam di Malaysia,” kata Ramasamy dalam satu kenyataannya hari ini.

Sebelum ini dalam kenyataannya di Facebook, Ramasamy menulis ‘Let us get “Satan” Zakir Naik out of this country!’ .

Bagaimanapun, selang beberapa jam kemudian, Ramasamy menyunting status itu dengan memadam perkataan ‘satan’ itu.

Dalam kenyataan sama, Ramasamy mendakwa Zakir hanya mahu menyebarkan kebencian di kalangan bukan Islam di negara ini.

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia, khususnya pertubuhan India dan agama Hindu supaya membuat laporan polis terhadap Zakir.

Menghina dan mencaci

Sementara Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kenyataan yang dibuat bukan anti Islam sebaliknya beliau mahu setiap orang perlu menghormati negara ini kerana Malaysia mempunyai berbilang agama dan bangsa.

“Posting saya bukan anti Islam atau orang Islam di negara ini. Ia hanya ditujukan terhadap orang tertentu.

“Bukan niat saya kerana saya menghormati semua agama di negara ini.

“Saya amat yakin bahawa Malaysia sebuah negara yang pelbagai agama dan kaum di mana semua agama perlu dihormat dan bermaruah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Amanah Negara (AMANAH) mengucapkan berterima kasih kepada Ramasamy kerana telah menggugurkan perkataan ‘syaitan’ yang digunakannya terhadap Dr Zakir Naik.

AMANAH berkata budaya gelaran menghina dan mencaci adalah sesuatu yang wajar dihalang kerana amalan ‘name calling’ ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat sebaliknya menyemarakkan lagi kepanasan suasana yang sudah panas.

“Tindakan Prof Ramasamy menggugurkan perkataan tersebut boleh dipuji kerana walaupun tidak bersetuju dan tidak berpuas hati, beliau masih rasional dan bersedia menerima teguran.

“Ini berbeza dengan sikap sebahagian yang lain yang terus mempertahankan penggunaan istilah menghina walaupun mengetahui ia amalan tidak berakhlak,” kata AMANAH dalam kenyataannya hari ini.

Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nur Fazrina Zakaria pula berkata tindakan Ramasamy yang memanggil Zakir sebagai syaitan tidak menunjukkan sikap kepimpinan yang demokratik.

“Wanita PKR Pulau Pinang menyeru supaya pihak berkenaan bersedia berhujah dengan fakta dan tidak menggunakan platform politik dan ketenteraman awam sebagai jalan mudah untuk lari dari fokus sebenar iaitu demokrasi dalam negara Islam.

“Jangan hanya pandai melaungkan perkataan demokrasi tetapi gagal melaksanakan. Nanti akan dilabel retorik semata,” katanya.

Lihat Komen
ADS