Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini dikecam kerana menahan empat aktivis reformasi selama dua tahun di kem Kamunting, Perak dengan dakwaan ia berdasarkan "laporan polis yang palsu dan rekaan semata."

Pemuda PAS menyatakan bantahan itu dalam surat kepada Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, kata ketuanya Mahfuz Omar.

"Alasan keselamatan negara yang bersandarkan laporan polis semata-mata tidak mencukupi untuk menahan mereka secara zalim di bawah akta itu," surat itu dipetik.

Menurut surat itu, jika siasatan telah lengkap dan mempunyai bukti kukuh, empat aktivis itu harus didakwa di mahkamah.

"(Jika tidak didakwa), laporan polis itu (untuk menahan lanjut) merupakan laporan yang tidak tidak lengkap dan tidak mempunyai bukti yang kukuh," kata Mahfuz dalam surat itu, yang diedarkan dalam satu sidang akhbar di Gombak pagi ini.

Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat Saari Sungib dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais dibawa ke kem tahanan lanjutan itu pada Sabtu lalu selepas disiasat hampir dua bulan sejak 10 April.

Mencederakan pemimpin negara

Dalam sidang itu Mahfuz berkata, polis harus membuktikan empat pemimpin pembangkang itu menyimpan senjata-senjata berat, dan bukti itu harus dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Sehari selepas mereka ditangkap, Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai mendakwa kumpulan reformasi "merancang untuk menggulingkan kerajaan menggunakan cara-cara militan," termasuk menggunakan pelancar bom dan bahan letupan, selain menganjurkan demonstrasi besar-besaran yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Sementara KDN, dalam perintah tahanan terhadap Ezam, mendakwa aktivis itu cuba mendapatkan bantuan kumpulan gerila pemisah di sebuah negara jiran untuk mengancam nyawa dan mencederakan pemimpin tertentu negara ini.

Menurut Mahfuz lagi, sekiranya wujud prima facie (asas yang kuat), maka perkara itu boleh didakwa di mahkamah.

"(Kerana tidak didakwa), ini membuktikan kerajaan tidak yakin dengan perbicaraan di mahkamah secara terbuka," katanya.

"Kerajaan mengguna laporan polis sebagai usaha untuk menghalang kebangkitan rakyat terhadap kerajaan yang berkuasa sekarang."

'Melacurkan ilmu'

Pemuda PAS juga bercadang menghantar memorandum kepada University of London sebagai membantah kenyataan-kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim yang kerap menyokong penggunaan ISA terhadap pemimpin politik.

Di universiti itu, Rais pernah menjalankan kajian ilmiah di peringkat ijazah kedoktoran bertajuk Freedom Under Executive Power in Malaysia (Kebebasan di bawah kuasa eksekutif di Malaysia) dan diterbitkan pada 1995.

Dalam kajian itu, Rais mendedahkan kesan-kesan buruk kuasa yang ada pada kerajaan, termasuk penggunaan ISA dan beberapa undang-undang lain. Beliau juga mengkritik penggunaan undang-undang seumpama itu.

Mahfuz berkata Rais sanggup "melacurkan ilmu" bagi mempertahankan ISA. Dalam memorandum itu, PAS akan menggesa universiti berkenaan mengkaji kenyataan terbaru Rais yang dianggap "memalukan universiti" itu.

Sementara itu dalam sidang akhbar yang sama, Pemuda PAS masih mendakwa Puteri Umno menjalankan kegiatan menarik ahli-ahli baru di kalangan pelajar di semua universiti tempatan.

"Kita mendapat maklumat kegiatan Puteri Umno itu (diadakan) di semua kampus," kata Mahfuz Omar, menjawab cabaran ketua penaja Puteri Umno Azalina Othman agar beliau menunjukkan bukti kumpulan wanita muda itu membuka kaunter pendaftaran di universiti-universiti bagi menambah keahliannya.

Azalina bagaimanapun pernah menafikan dakwaan Mahfuz itu. Ketua penaja Puteri sebaliknya berkata sayap baru itu sering mengadakan "kegiatan amal" yang membabitkan pelajar universiti.

Malaysiakini sebelum ini pernah melaporkan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia mengedarkan borang Puteri Umno ketika majlis suai kenal pelajar baru bulan lalu.