Naib Presiden PKR Tian Chua, yang berulang-kali ditangkap dan diserang dengan gas pemedih mata semasa era Reformasi pada tahun 1998, menggesa pengkritik untuk mengimbas kembali apa yang berlaku ketika itu.
Katanya, seperti senario hari ini yang menyaksikan parti-parti politik yang berbeza berkongsi matlamat sama, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga membawa parti-parti yang berlainan bersama-sama.
"Otai ini harus ingat sejarah Reformasi ... Ia tidak mempunyai kaitan politik. Rakyat bangkit mempertahankan Anwar kerana beliau adalah mangsa penganiayaan politik
"Mereka yang berjuang untuk kebebasan dan keadilan datang dari pelbagai parti seperti PAS dan DAP serta juga Umno," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar di Petaling Jaya.
Tian Chua berkata demikian bagi menjawab kritikan terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, termasuk daripada anggota PKR.
