Akhbar web berbahasa Melayu muncul 15 Jun
Laman web berkonsepkan akhbar harian AgendaDaily.com yang mengutamakan bahasa Melayu dilancarkan secara rasmi dalam talian Jumaat ini.
Ketua pengarangnya Rozaid A Rahman berkata, 80 peratus tulisan disampaikan dalam bahasa Melayu kerana tidak banyak kandungan berita dan laporan Internet berasaskan bahasa kebangsaan.
"Kami berhasrat memenuhi kekosongan (kandungan) tersebut kerana pembaca yang ingin kandungan berita dalam bahasa kebangsaan sebenarnya jauh lebih besar daripada bahasa Inggeris," katanya seperti dilaporkan akhbar web itu.
Tambahnya, jika AgendaDaily dapat menarik minat antara lima hingga 10 peratus daripada kira-kira 2 juta pengguna Internet di negara ini, "itu satu permulaan yang baik."
Pelancaran akhbar web ini asalnya dijadualkan 1 Jun lalu tetapi ditunda akibat masalah perpindahan perumah (host) web kepada AsiaOnline daripada Jaring.
Ia digerakkan oleh lima wartawan berpengalaman, semuanya baru berpisah daripada sidang pengarang majalah web terkenal, AgendaMalaysia.com .
Mereka meninggalkan majalah web itu apabila berlaku perbezaan pendapat bulan lalu. AgendaMalaysia ingin meneruskan laporan kewangan dan perniagaan, sementara kumpulan wartawan ini ingin menerbitkan berita setiap hari.
AgendaMalaysia , yang ditutup Disember lalu selepas lapan bulan, beroperasi semula April dengan berita-berita harian.
Ceria, hidup dan menarik
Rozaid berkata, AgendaDaily berbeza dengan laman-laman web lain kerana ia akan direkabentuk seperti laman akhbar bercetak.
"Kami semua lulusan sekolah lama kewartawanan, tetapi perubahan cara mencari berita dan tabiat membaca rakyat Malaysia mendorong kami menggabungkan konsep biasa penerbitan akhbar dengan konsep akhbar dalam talian (online)," katanya kepada malaysiakini bulan lalu.
Dalam satu tulisan pada akhbar itu, reka bentuk AgendaDaily dibuat sedemikian agar "lebih ceria, hidup dan menarik."
Ruangan menarik akhbar ini termasuklah 'Simpang Siur' yang ditulis Rozaid sendiri, 'Watchman' (Rosli Ismail), 'Petikan Hari Ini', 'E-mel dari Pembaca' dan 'Menarik Minggu Ini.'
Katanya, pendapatan utama AgendaDaily pada masa depan bergantung kepada iklan dan juga perundingan media yang akan ditawarkan oleh syarikat induknya, Image Workfield Sdn Bhd. Syarikat pengurusan dan perundingan media ini diusahakan sepenuhnya oleh sekumpulan wartawan tempatan.
Penerbitnya, Rosli Ismail berkata akhbar web itu akan mengambil pendekatan tidak berpihak dan 'laporan tulen' agar pembaca dapat menyelami sesuatu perkembangan daripada peristiwa itu sendiri.
AgendaDaily juga berhasrat menerbitkan beberapa ruangan khas seperti 'AgendaDagang', 'AgendaHiburan', 'AgendaSukan', 'AgendaKota' dan 'AgendaNegeri'.

