Malaysiakini BERITA

Cadangan Zaid buat S'gor dalam masalah - Penganalisis

Alyaa Alhadjri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan Selangor akan bermasalah jika bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim berjaya meyakinkan pemimpin popular DAP Lim Kit Siang supaya meninggalkan gabungan dengan PKR, kata seorang penganalisis.

Namun, penganalisis Khoo Kay Peng berkata cadangan Zaid itu 'tidak masuk akal' dan tidak mudah seperti diperkatakan.

“Ini sebabnya dia (Zaid) bukan sebahagian daripada gabungan (Pakatan Harapan)... Dia tidak tahu bagaimana untuk uruskan (perbezaan dalam sesebuah gabungan).

“Dalam kes ini, kerajaan Selangor akan bermasalah,” kata Khoo kepada Malaysiakini.

Pakatan Harapan Selangor mempunyai 13 ADUN PKR, 15 daripada DAP dan dua lagi dari Parti Amanah Negara (AMANAH).

PAS, yang tidak bergabung dalam HARAPAN tetapi masih berada dalam kerajaan Selangor, mempunyai 12 ADUN.

Khoo diminta mengulas undangan Zaid yang mahu mengundang Lim ke sebuah majlis makan malam mewah bagi mengusulkan DAP meninggalkan HARAPAN.

Zaid, bekas menteri Umno yang pernah menyertai PKR, dilaporkan berkata gabungan bersama PKR-DAP tidak berkesan dalam pilihan raya umum ke-13 dan tidak berjaya dalam pilihan raya Sarawak.

DAP dan PKR kini bertembung di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas gagal menyelesaikan pengagihan kerusi.

Mengulas perselisihan kedua-dua parti itu, Khoo berkata PKR dan DAP patut sama-sama dipersalahkan dalam isu itu.

Katanya, kedua-dua parti harus menjaga pemimpin masing-masing dan menumpukan kepada agenda lebih besar.

“Setiap parti ada masalah sendiri untuk diselesaikan. Ia tidak semudah yang Zaid katakan. Malah kerjasama dengan AMANAH sahaja masih menjadi tanda soal, di segi sokongan akar umbi,” katanya.

Pada masa depan, kata Khoo, pembangkang patut sedar mereka tidak boleh terus mendendangkan kepada rakyat bahawa terdapat harapan untuk perubahan, kecuali pemimpinnya sendiri bersedia berubah.

[Baca berita asal]