Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MOF Inc sah terima peletakan jawatan pengarah 1MDB
Diterbitkan:  May 4, 2016 3:54 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) selaku pemegang saham 100 peratus dalam 1MDB bersetuju melaksanakan semua cadangan yang terkandung dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas firma pelaburan negara itu.

Antaranya, termasuk menerima tawaran peletakan jawatan oleh lembaga pengarah 1MDB berkuatkuasa 31 Mei ini.

Bagaimanapun menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian kewangan hari ini, Arul Kanda Kandasamy akan kekal sebagai presiden 1MDB sehingga notis lanjut.

“Beliau ( Arul Kanda) akan memberi tumpuan terhadap mandat khusus untuk melaksanakan pelan rasionalisasi, termasuk mencari penyelesaian pertikaian kontrak baru-baru ini dengan International Petroleum Investment Company (IPIC).

“MOF Inc akan melantik lembaga pengarah baru dalam masa terdekat bagi mencerminkan profail perniagaan terhad 1MDB,” kata kenyataan itu.

Turut dipersetujui adalah pembubaran lembaga penasihat 1MDB.

IPIC dan 1MDB kini dalam pertikaian selepas dana sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion yang sepatutnya dibayar oleh syarikat milik negara itu kepada anak syarikat, firma milik Abu Dhabi berkenaan, Aabar Investments PJS dilaporkan hilang.

Jumlah itu termasuk bayaran cagaran 1MDB yang sepatutnya dibayar sebagai pertukaran untuk jaminan dua bon oleh IPIC serta pembayaran bagi penamatan pilihan untuk Aabar melanggan aset tenaga 1MDB.

Wang itu sebaliknya disalurkan ke sebuah syarikat pesisir di Kepulauan Virgin British yang mempunyai nama yang hampir sama dengan Aabar Investments PJS tetapi tidak mempunyai kaitan dengan IPIC.

Berikutan itu, IPIC, dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham London pada 18 April lalu, mengumumkan bahawa rancangan untuk menyelamatkan 1MDB ditamatkan berikutan kegagalan firma pelaburan Malaysia itu yang gagal membayarnya lebih AS$1 bilion.

Walau bagaimanapun, dalam pengumuman berasingan pada 25 April, IPIC menjelaskan bahawa peranannya sebagai penjamin kepada kedua-dua bon itu yang berasingan dengan perjanjian menyelamat, masih diguna-pakai dan ia hanya akan membuat pembayaran faedah jika 1MDB ingkar.

1MDB seterusnya gagal membuat pembayaran faedah selepas tempoh lima hari penangguhan, menyebabkan IPIC akhirnya terpaksa campur tangan.

Walau bagaimanapun, IPIC kemudiannya menuntut wang berkenaan daripada 1MDB dan kerajaan Malaysia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS