Laman Reformasi salahkan Umno selepas diceroboh
Laman web proreformasi terkenal, Laman Reformasi , hari ini menyalahkan Umno apabila ia diceroboh sejak Sabtu lalu dan mendakwa parti itu "terdesak."
"Umno sudah terdesak. Pelbagai usaha sedang diambil bagi memastikan pejuang-pejuang reformasi dikerat dan dipatah-patahkan. Penangkapan 10 orang (aktivis reformasi) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menampakkan sikap terdesaknya mereka. Usaha mereka akan tidak berhenti setakat itu sahaja," kata pengendali laman itu dalam satu kenyataan hari ini.
"Peranan rakan-rakan pengendali web (proreformasi) harus juga mereka (Umno) tumpaskan demi (terus) berpegang kepada sistem korup yang mereka dukung. Mereka mahu menumpaskan kita dan membunuh tuntutan (gerakan) reformasi yang saban hari semakin kuat dan semakin memuncak."
Laman web itu gagal dicapai sejak hujung minggu lalu dan muka surat depannya digantikan dengan mesej "tiada apa yang dapat menahan kami dari terus mengajar puak reformis (reformasi)."
Penceroboh juga memuatkan foto Perdana Menteri yang sedang menari dengan slogan "Hidup YAB Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, hidup Barisan Nasional, hidup Melayu, hidup Pemuda Umno."
Penceroboh itu memperkenalkan dirinya sebagai "Lord Xidius." Dengan mendakwa dirinya "seorang SB (polis Cawangan Khas) Bukit Timah (Singapura)", penceroboh berkenaan meninggalkan alamat e-mel lordxidius@yahoo.com.sg .
Bagaimanapun pengendali Laman Reformasi tidak menjelaskan bagaimana pencerobohan itu berlaku.
"Bagaimana ia (pencerobohan) boleh berlaku merupakan satu persoalan yang masih bermain dalam fikiran saya," katanya melalui mesej e-mel kepada malaysiakini petang ini.
"Segala usaha untuk memastikan Laman Reformasi ini terus beroperasi sedang dilaksanakan demi menjayakan tuntutan reformasi."
Laman itu yang diwujudkan sejak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 sering mendedahkan keburukan kerajaan dan mengecam kepimpinan negara, khususnya beberapa pemimpin tertinggi yang dipercayai terlibat menjatuhkan Anwar daripada kerajaan.
Sementara pemimpin kerajaan pula mendakwa bahan-bahan yang diterbitkan laman itu mengandungi fitnah, berita palsu dan bersifat hasutan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.