Paling Popular
Terkini

ULASAN Hishamuddin Rais (lebih mesra dengan panggilan Isham) ialah seorang tokoh terkenal, mungkin yang paling terkenal, berkaitan perjuangan jalanan dalam negara ini.

Beliau sering menyertai dan menganjurkan demostrasi jalan raya, bahkan menulis buku mengenainya. Beliau percaya cara paling berkesan untuk membantah salah laku pemerintah dan membawa perubahan dalam pemerintahan ialah dengan berjuang melalui demonstrasi jalan raya.

Berhubung perubahan atau pertukaran pemerintahan, Isham bukan tidak percaya sama sekali kepada proses pilihan raya. Akan tetapi beliau tahu dalam negara 'Malaysia boleh' ini, rejim yang korup boleh melakukan bermacam-macam untuk memastikan terus berkuasa dan tidak boleh diubah.

Jadi, mengikut Isham akhirnya rakyat harus ke jalan raya kerana hanya dengan berdemonstrasi beramai-ramai dan lama-lama di jalan raya, bukan melalui pilihan raya, barulah rakyat akan berjaya mencapai tujuan mereka untuk menukar pemerintahan.

Hampir semua yang dilakukan oleh Isham berupa politik, akan tetapi beliau tidak mahu terlibat dengan parti politik kerana tidak suka terikat kepada organisasi dan polisi kepartian.

Isham lebih senang dengan bebas menjadi apa yang selalu disebutnya sebagai NGI (Non-governmental individual atau individu bukan kerajaan). Walaupun ada sedikit unsur “bohemian” padanya, namun beliau tidak sekali-kali antidisiplin atau organisasi.

Isham mempunyai ramai pengikut di kalangan orang muda. Sebilangan mereka berkumpul di bawah sebuah badan tidak-rasmi yang mereka gelar Universiti Bangsar, yang dimula dan dikelolakan dengan inisiatif Isham.

Beliau mengadakan kelas atau kursus untuk mereka, seperti dalam bidang falsafah dan politik. Bahkan mereka tubuhkan juga sebuah pancaragam, dinamakan Bangsart, yang memainkan lagu-lagu perjuangan, termasuk yang berasaskan sajak-sajak oleh Said Zahari.

Para "siswa" Universiti Bangsar ini mempunyai perasaan kekitaan yang baik dan sangat menghormati serta patuh kepada Isham.

Kot hitam, bertopi dan seluar pendek

Selain sifat-sifat ini, ada dua perkara lagi yang Isham terkenal. Satu ialah cara berpakaiannya. Di mana saja kita berjumpa dengannya, sama ada di jalan raya atau dalam mahkamah, Isham sentiasa kelihatan memakai baju kot hitam, topi kuning dan seluar pendek agak labuh serta sudah agak lusuh.

Itu “trade mark” beliau yang jauh membezakannya dengan orang lain. Pakaiannya ini melambangkan sifatnya, yang selalu mahu berlainan daripada kebiasaan. Mungkin ini juga merupakan protesnya terhadap amalan yang biasa dalam masyarakat.

Satu lagi ialah Isham suka mencarut. Kukenal seorang saja lagi yang sering mencarut sepertinya, iaitu A. Samad Ismail. Akan tetapi, Samad selalunya hanya mencarut apabila bercakap ringan ataupun waktu marah; akan tetapi hampir tiada sekalipun beliau mencarut dalam tulisannya.

Sebaliknya Isham mencarut dalam lisan dan tulisan, terutama apabila mengkritik para pemimpin Kerajaan yang zalim. Apakah ini caranya beliau membantah? Atau adakah ia melambangkan sikap berontaknya? Namun, melihat blognya Tukar Tiub yang popular itu, akhir-akhir ini nampaknya Isham sudah kurang sedikit melakukan perbuatan ini.

Lulus cukup-cukup makan

Kali pertama aku berjumpa Isham ialah apabila dia baru saja masuk Universiti Malaya, dalam satu pertemuan tidak formal anjuran Kelab Sosialis. Dia memakai baju T dan seluar jeans yang berkedut sikit seperti tidak bergosok.

Dari lehernya tergantung rantai, tidak tahu dari apa buatannya akan tetapi rasanya bukan emas. Rambutnya panjang serta kurang terurus dan mukanya semacam tidak bercukur dua tiga hari. Dia bercakap dengan tergagap-gagap sedikit. Sudah kelihatan kelainan Isham daripada kebanyakan pelajar lain pada masa itu.

Isham memasuki Kelab dan aktif di dalamnya. Beliau juga menang bertanding dalam pemilihan Persatuan Mahasiswa (PMUM) dan tidak lama kemudian memegang jawatan kanan dalam pertubuhan ini.

Beliau serta kawan-kawannya bukan saja aktif memperjuang kebajikan pelajar bahkan selalu keluar untuk membela nasib rakyat yang susah. Beliau dibenarkan mengambil cuti setahun daripada pelajaran untuk menjalankan kegiatan luar kampusnya.

Kemajuan pelajarannya tidaklah begitu baik. Beliau mendapat keputusan “cukup-cukup makan” dalam peperiksaan akhirnya untuk mendapat ijazah BA.

Bela nasib peneroka bandar

Selepas lulus dari Universiti, rasanya Isham tidak pernah mempunyai kerja tetap. Beliau terus dengan aktiviti-aktiviti membela rakyat secara tersendirinya. Suatu ketika akibat bersama-sama membela nasib peneroka bandar yang telah diroboh rumah mereka, Isham ditahan dan hendak didakwa dalam mahkamah.

Pada masa itu beliau telah lari dan menghilangkan diri beberapa tahun di luar negara. Bukan Isham seorang saja berbuat demikian.

Selepas peristiwa-peristiwa demonstrasi peneroka bandar Tasik Utara, Johor dan petani di Baling, Kedah, ramai pelajar dan juga pensyarah yang menyokong atau menyertainya ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA).

Selain Isham, beberapa orang lagi seperti Abdul Rahman Embong (pensyarah), Syed Hamid Ali (pemimpin pelajar dan PRM), Abu Zer (presiden Kelab Sosialis) dan Yunus Ali (aktivis pelajar) melarikan diri ke luar negara kerana tidak rela untuk ditahan di bawah ISA.

Rahman, Hamid dan Abu Zer menyertai perjuangan rakyat di Selatan Thai, manakala Yunus menyertai perjuangan rakyat Palestin.

Isham pula telah berpindah-pindah dari satu negara ke negara lain, termasuklah Palestin, Iraq Australia dan England, dan mendapat perlindungan politik. Di England beliau mengambil kursus perfileman dan drama di sebuah universiti, dan berjaya mendapat kelulusan.

Di semua negara banyak pengalaman yang dilaluinya akan tetapi belum tercatat lagi. Saya harap tidak lama lagi beliau akan menulis tentang segala pahit maung yang dilaluinya dan segala perjuangan yang disertainya selama banyak tahun merantau itu.

Kini akan dipenjarakan

Kalau tidak salah ingatanku Isham ditahan sekejap di bawah ISA sekembalinya ke tanah air. Selepas bebas daripada tahanan beliau tidak berundur bahkan meneruskan perjuangannya untuk rakyat menentang kezaliman, kemiskinan serta korupsi antara lainnya, dan untuk menegakkan keadilan, kesaksamaan serta tatakelola pemerintahan yang baik.

Beliau terus tidak terikat kepada kerja tetap. Untuk mendapatkan sumber pendapatan beliau menulis kolum dalam beberapa ahbar atau majalah.

Selain itu beliau menerbitkan beberapa buah drama yang berkaitan dengan kezaliman, seperti tahanan di bawah ISA, yang malangnya tidak membawa pendapatan baginya.

Namun, Isham masih boleh hidup, sebab keperluannya paling sederhana. Misalnya, beliau tidak memiliki rumah ataupun kereta. Tiada isteri baginya. Beberapa orang wanita yang karib dengannya serta beberapa ekor kucing di rumah menjadi tumpuan kesayangannya!

Isham tidak bosan dengan perjuangannya untuk menegakkan keadilan dan kebenaran, dan tidak akan berhenti meneruskan demonstrasi jalan raya. Beliau tidak takut dipenjara kerana telah mengalami tahanan-tahanan yang agak lama di bawah ISA.

Kini Isham dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan. Kesalahannya? Dituduh menghasut orang ramai supaya menggulingkan kerajaan. Sebenarnya, Hisham tidak akan berhenti menghasut, demi menentang kezaliman, korupsi dan segala kebobrokan pemerintahan.


SYED HUSIN ALI Bekas senator dan merupakan pemimpin Parti Rakyat Malaysia sebelum bergabung bersama PKR.

Lihat Komen
ADS