Parti Rakyat Malaysia dan Parti Keadilan Nasional dengan rasmi bergabung apabila mesyuarat agung khas masing-masing mengesahkannya beberapa minggu lagi.

Mesyuarat Keadilan akan diadakan pada 24 Jun ini, sementara PRM akan mengadakannya 14 dan 15 Julai.

Setiausaha Angkatan Belia PRM, Latheefa Koya berkata, ahli jawatankuasa teknikal kedua-dua parti itu telah bersetuju dengan penggabungan itu. Setiap parti melantik lima wakil dalam jawatankuasa bagi membincangkan perkara ini.

Beliau, yang juga ahli jawatankuasa teknikal bagi pihak partinya, yakin dua parti itu berjaya bergabung dalam jangka masa terdekat ini walau masih ada kekeliruan daripada ahli kedua-dua parti.

Menurutnya, ahli-ahli PRM masih menimbulkan beberapa isu, seperti konsep pencantuman, pertukaran warna bendera, logo dan nama parti.

"(Ahli-ahli PRM) khuatir tidak ada kesinambungan sejarah," kata Latheefa lagi, menyentuh sejarah parti itu yang sudah diasaskan selama 46 tahun.

Sementara itu Setiausaha Agung Dr Sanusi Osman, juga sebagai ketua jawatankuasa teknikal parti itu, juga tidak menafikan isu-isu itu.

Beliau memberitahu malaysiakini , masalah kecil wujud di peringkat ahli-ahli akar umbi kerana mereka tidak mendapat penjelasan sepenuhnya daripada pemimpin.

Sementara Timbalan Presiden Keadilan, Dr Chandra Muzaffar menganggap masalah-masalah itu perkara dalaman dua parti itu dan enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun malaysiakini difahamkan Wanita parti itu kurang selesa dengan penggabungan itu kerana bimbang peranan mereka akan "hilang."