Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagu nyanyian anak MP K Kangsar jadi bahan kempen BN

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Kadir mengakui lagu Pinggiran Syurga nukilan anak calon BN di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid akan dijadikan sebahagian bahan kempen parti itu.

Bagaimanapun, pengerusi BN Perak itu berkata ia bukanlah semata-mata menjadi alat berkempen, sebaliknya diakui ia adalah suara tulus ikhlas Wan Imar Izzat dan atas permintaan arwah Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

"Ia merupakan sebahagian daripada bahan (kempen) kita seperti mana juga dengan pembangkang yang ada bahan-bahan kempen mereka. Tapi yang paling penting adalah bukanlah kita menggunakan ini semata-mata alat untuk berkempen.

"Kerana apa yang dibuat ini adalah hasil yang diilhamkan sendiri oleh arwah. Norman (KRU) sendiri telah maklumkan arwah telah berjumpa dengan beliau sebelum ini," kata Zambry kepada pemberita di Kuala Kangsar hari ini.

Menurut Zambry anak muda itu sememangnya berbakat sejak kecil lagi dan arwah Wan Mohammad Khair-il hanya menunaikan impian anaknya.

"Kerana penyanyi kita ini sangat berbakat, saya kenal beliau sejak kecil lagi. Apabila ada program, termasuklah di rumah saya, beliau akan dipanggil untuk menyanyi dan kebetulan pula berlaku tragedi ini.

"Norman (Pengurus Besar KRU) dan keluarga membuat keputusan untuk memberikan sesuatu sebagai tanda ingatan kepada arwah," tambah Zambry.

Sementara itu, Pengurus Besar KRU itu menegaskan penghasilan lagu tersebut langsung tidak ada kaitan dengan unsur politik.

"Dua bulan sebelum tragedi itu saya berjumpa dengan Imar dan memanggil beliau untuk uji bakat.

"Kami lihat beliau berbakat dan cenderung kepada musik R&B, maka KRU mencari lagu yang sesuai untuknya.

"Jadi jika bahan ini dilihat (sebagai bahan kempen) ia langsung tak ada unsur politik pun kerana lagu ini didedikasikan untuk bapa Imar dan semua bapa-bapa di Malaysia," katanya.

[Baca berita Wan Imar di sini]

Lihat Komen
ADS