Selepas lebih 30 tahun berlalu, Daud Abdullah, 76, adalah satu-satunya 'pengumpul kotak' yang masih mencari rezekinya di sekitar Sungai Besar.
Dia tinggal di sebuah rumah teres satu tingkat usang di hujung Lorong 5, Taman Seri Sentosa, yang sarat dengan timbunan kotak kadbod melebihi lima kaki tinggi.
Satu-satunya ruang yang terdapat dalam rumah itu adalah di bilik tidur yang dikongsinya bersama anak lelakinya dan enam kucing mereka.
"Apabila hujan, bocor di merata tempat,” kata Daud walaupun mengakui sudah biasa dengan kehidupan yang sukar.
Timbunan besi buruk, tin aluminium berkarat, botol plastik dan bahan-bahan kitar semula lain juga bertaburan di laman rumahnya.
Sebulan sekali, dia akan memanggil pemborong barangan kitar semula untuk datang mengambil timbunan itu dan memperoleh beberapa ratus ringgit.
Apabila ditanya sama ada jiran-jirannya pernah mengadu dengan timbunan sampah sarap itu, katanya tiada apa bagi mereka untuk berbuat demikian terhadap seorang tua yang cuba mencari rezeki yang halal.
"Nak buat aduan apa? Kalau mereta tak puas hati, bagi saya sedikit makanan.
"Saya orang miskin tapi saya tak mencuri. Saya cari rezeki yang halal," kata Daud.
Setiap pagi, Daud akan menaiki basikal roda tiga ke ke bandar untuk mencari kotak kadbod dari lorong-lorong belakang kedai-kedai dan pasar raya utama.
"Sekarang ini tinggal saya seorang selepas kawan saya Ali meninggal dunia. Sebelum ini, dia satu-satunya yang dibenarkan mengutip kotak dari Seri Kassim," katanya kepada Malaysiakini ketika mengangkat beberapa kotak ke atas basikal tua itu.
Seri Kassim adalah rantaian popular kedai dan restoran yang mempunyai beberapa cawangan lain.
Hentian lain Daud termasuk pasar berdekatan, di mana beliau akan mengumpul botol plastik dan mengikatnya di belakang basikal.
"Basikal tua saya ini jenis chopper. Saya pernah bawa anak saya bersama-sama, kadang-kadang sampai ke Tanjung Malim.
"Basikal ini saya beli dengan harga RM30. Dah tak boleh dapat lagi sekarang ini lagi,” katanya yang sering meronda di sekitar kawasan Sungai Besar.
Namun kehadiran Daud seringkali tidak mendapat perhatian masyarakat setempat. Malah dia juga mengeluh masih belum menerima kunjungan daripada mana-mana calon yang bertanding pada pilihan raya Sungai Besar, Sabtu ini.
"Mereka (calon) lebih daripada dialu-alukan untuk datang... Tetapi setakat ini tiada.
"Kalu boleh saya mahu minta mesin pemotong logam berkuasa, petrol" katanya.
Ditanya siapa yang dia berhasrat untuk meminta, Daud berkata, "sesiapa sahaja yang menang".
"Saya tidak iri hati dengan sesiapa... Semua rezeki datang dari Allah SWT.
"Setiap malam saya berdoa mereka yang membantu saya dimurahkan rezeki mereka,” katanya.
