Kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman tidak bermaksud mengenai halal darah orang bukan Islam apabila beliau menggunakan istilah kafir harbi, kata seorang pemimpin Pemuda Umno.
Exco Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata, sebaliknya, maksud mufti berkenaan ialah perang minda.
"Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak bermaksud tentang halal darah (orang bukan Islam), beliau maksudkan harbi dalam erti kata jihad melawan pemikiran dan ideologi," kata Fathul Bari dalam satu forum di Nilai, Negeri Sembilan malam tadi.
Abdul Rahman sebelum ini telah menjelaskan bahawa memerangi kafir harbi tidak memerlukan senjata atau pertumpahan darah.
The Star sebelum ini memetik beliau sebagai berkata: "Sebagai umat Islam, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengisytiharkan jihad terhadap kafir harbi. Tetapi dalam konteks ini, jihad tidak bermakna mengambil senjata dan berperang.
"Dalam kes ini, jihad bermakna kita hanya mengisytiharkan perang terhadap ideologi mereka melalui perdebatan dan hujah," kata Abdul Rahmah dalam laporan The Star itu pada 29 Jun lalu.
Mufti itu juga memberitahu akhbar harian berbahasa Inggeris itu adalah tidak masuk akal untuk melancarkan perang terhadap orang bukan Islam di sebuah negara pelbagai budaya seperti Malaysia.
Fathul Bari berkata demikian di forum mengenai apakah istilah kafir harbi masih relevan, yang dianjurkan oleh Ikram di Universiti Sains Malaysia (USM).
Istilah kafir harbi menjadi isu hangat selepas Utusan Malaysia memetik Abdul Rahman sebagai berkata DAP adalah kafir harbi kerana menentang rang undang-undang berkaitan hudu yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Abdul Rahman kemudiannya menjelaskan bahawa beliau bermaksud semua orang yang menentang Islam adalah kafir harbi, dan bukan DAP sahajha.
Kenyataannya itu telah dikecam sebagai tidak bertanggungjawab dan berbahaya, terutamanya pada masa negara menghadapi ancaman pengganas.
Berikutan bantahan itu, kenyataan beliau itu disiasat di bawah Akta Hasutan, tetapi mufti berkenaan enggan menarik balik kenyataannya.
