Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gani Patail nafi terlibat dalam parti baru Dr Mahathir
Diterbitkan:  Jul 17, 2016 12:34 PM
Dikemaskini: Jul 18, 2016 3:26 AM

Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini menafikan pembabitannya dalam parti baru bakal ditubuhkan
bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas namanya tersenarai antara barisan kepemimpinan tertinggi parti itu yang menjadi viral melalui media sosial termasuk Facebook dan Twitter semalam.

"Pengeluaran senarai nama individu yang dikatakan terlibat dalan penubuhan parti baru itu baru-baru ini adalah palsu dan satu pembohongan.

"Saya tidak pernah terlibat dan tidak akan terlibat dalam politik. Saya sememangnya dan akan senantiasa menjadi seorang profesional," kata Abdul Gani menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Semalam, salah seorang orang kuat Dr Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan bahawa senarai itu adalah palsu.

Senarai itu mendakwa parti yang dinamakan sebagai Parti Melayu Baru Bersatu itu akan menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai presiden, manakala Datuk Seri Shafie Apdal memegang jawatan timbalan.

Nama Khairuddin sendiri disenaraikan sebagai 'setiausaha agung' parti baru berkenaan.

Senarai palsu itu muncul dua hari selepas Mahathir mengesahkan spekulasi mengenai usaha pembentukan sebuah parti politik baru.

Selain itu ia juga menyenaraikan nama naib-naib presidennya yang terdiri daripada bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim, bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas ketua wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.

Ia juga menyenaraikan ahli majlis tertinggi parti itu terdiri daripada ahli-ahli politik, aktivis, dan teknokrat, termasuk bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan penari Bilqis Hijjaz.

Parti itu dijangka menjadi gabungan besar pembangkang yang akan menampilkan PKR, DAP dan AMANAH bagi menghadapi BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Mahathir dilaporkan berkata ia belum diputuskan sama ada parti baru itu akan eksklusif kepada orang Melayu atau terbuka kepada semua kaum.

Lihat Komen
ADS