Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MP: Wang parkir KL ke kantung yayasan menteri Umno

Anggota-anggota parlimen Pakatan Harapan di ibu kota hari ini bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Mohd Amin Nordin bagi membantah kenaikan kadar tempat letak kereta di kawasan pusat perniagaan (CBD).

Anggota parlimen Cheras Tan Kok Wai berkata terdapat peranan sebuah yayasan yang diketuai seorang menteri dalam menguruskan tempat letak kereta.

“Kami difahamkan perniagaan ini dicadangkan oleh yayasan itu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 'terpaksa' setuju,” katanya kepada pemberita di Menara DBKL di ibu negara selepas pertemuan kira-kira sejam.

Tan juga mendakwa peningkatan kadar itu juga menjadi sumber kewangan yayasan itu.

Sedangkan, katanya lagi, yayasan itu tiada pengalaman menguruskan tempat letak kereta dan didakwa membuat penyumberan luar kepada sebuah syarikat dikaitkan dengan Umno.

Yayasan kebajikan itu dikatakan dilantik menguruskan sistem letak kereta di Kuala Lumpur tahun lalu.

Malaysiakini telah menghubungi yayasan itu bagi mendapatkan reaksinya berkaitan dakwaan itu.

Sementara itu, anggota parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata, mereka telah menggesa Datuk Bandar membekukan peningkatan kadar yang sehingga 200 peratus itu.

Naib presiden PKR itu juga mahu sebuah perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan penjelasan berhubung kewajaran tarif baru itu.

Yayasan itu memperkenalkan sistem baru dan dikatakan maju yang dikenali sebagai City Car Park (CCP).

Bawah perjanjian itu, ia akan membayar 35 peratus atau RM600,000 daripada pendapatan kasar kutipan letak kereta kepada DBKL setiap bulan.

Mulai semalam, bayaran letak kereta di Kuala Lumpur meningkat sehingga 150 peratus di beberapa kawasan.

Caj tempat letak kenderaan setiap jam di pusat bandar komersial pula dinaikkan daripada 80sen sejam kepada RM2 untuk jam yang pertama.

Manakala RM3 dikenakan untuk setiap jam berikutnya.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan pada 2 Julai lalu berkata kadar baru itu bertujuan mengelakkan kesesakan lalu lintas selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Tolak pengaruh menteri

Sementara itu, anggota parlimen Batu Tian Chua berkata menteri tidak harus mempunyai sebarang pengaruh terhadap keputusan DBKL dalam isu itu.

“Ini membebankan orang ramai,” katanya.

Dalam kenyataan bersama, wakil-wakil rakyat pembangkang itu berkata tarif baru itu tidak wajar kerana tidak didukung oleh sistem pengangkutan awam yang baik.

Turut hadir beberapa anggota parlimen, termasuk Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Teresa Kok (Seputih ), Fong Kui Lun (Bukit Bintang ), Lim Lip Eng (Segambut) dan Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju).

 

Lihat Komen
ADS