Jawatankuasa PAS: 3 calon untuk wakili Cina
PAS menamakan tiga aktivis Cina beragama Islam dan seorang daripada mereka akan diputuskan untuk menduduki jawatankuasa pusat parti itu minggu depan, kata satu sumber.
Ketika dihubungi hari ini, Presiden Datuk Fadzil Noor bagaimanapun hanya berkata beliau mempunyai "beberapa nama" tetapi enggan menjelaskannya.
Sumber-sumber dalaman parti itu menyebutkan, calon-calon itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kelantan Anuar Tan, ahli jawatankuasa biro perpaduan kaum Kamal Koh dan penceramah bebas, Ann Wan Seng.
Semalam PAS melantik lima daripada enam kekosongan ahli jawatankuasa itu. Pelantikan baru ini dibuat akibat kemenangan pemimpin-pemimpin baru ketika muktamar parti itu akhir bulan lalu. Enam kekosongan itu adalah jawatan yang dibenarkan dilantik oleh presiden parti itu.
Mereka yang dilantik semalam adalah Pengarah Urusan Harakah Datuk Hishamuddin Yahya, bekas Ketua Muslimat Jamilah Ibrahim, Mohamad Sabu, Asmuni Awi dan Dr Siti Mariah Mahmud.
Keputusan untuk melantik seorang lagi ahli jawatankuasa pusat itu ditangguhkan sehingga mendapat persetujuan calon yang dilantik.
Kata sumber lagi, seorang tokoh akademik yang banyak memberi sumbangan kepada parti mungkin akan dilantik.
"Hanya dua nama disebut dalam mesyuarat semalam," katanya, tetapi cadangan itu dibantah kerana calon yang disebutkan itu "masih muda". Sesetengah pihak dalam PAS mahu pelantikan itu mestilah membawa "mesej dan menaikkan imej parti," katanya lagi.
Tambahnya, wakil Cina diperlukan dalam jawatankuasa tertinggi PAS itu ekoran keadaan politik semasa yang semakin "mendesak".
Apabila ditanya keadaan yang mendesak itu, sumber itu menjelaskan PAS perlu wakil kaum itu bagi mendekati masyarakat Cina. Bagaimanapun beliau menafikan pelantikan itu bertujuan "menangkis tohmahan parti-parti lawan yang cuba mengelirukan masyarakat Cina (mengenai perjuangan PAS)."
Akhbar The Star hari ini melaporkan pelantikan tersebut bagi menghadapi persediaan pilihanraya akan datang.
Fadzil memberitahu malaysiakini tadi, PAS juga tidak keberatan melantik wakil kaum India tetapi setakat ini parti itu tidak mempunyai calon yang sesuai.
Mesyuarat jawatankuasa pusat PAS semalam juga mengekalkan Nasaruddin Mat Isa sebagai Setiausaha Agung dan Datuk Abdul Halim Rahman sebagai Bendahari. Sementara Azizan Abd Razak dilantik Ketua Penerangan sebagai menggantikan Omar Mohamed.

