Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Malaysian Official 1' disebut 36 kali
Diterbitkan:  Jul 24, 2016 2:23 PM
Dikemaskini: 11:47 PM

Walaupun pegawai undang-undang tertinggi di negara ini dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak dinamakan dalam saman sivil kerajaan Amerika Syarikat, namun perkataan individu yang dikenali sebagai 'Malaysian Official 1' telah dipetik sebanyak 36 kali dalam saman sivil tersebut.

Ia termasuk dua perenggan di mana dokumen mahkamah itu - pada halaman 75, perenggan 263- memetik sidang media yang dibuat Apandi pada Januari lalu yang turut membersihkan nama Najib.

Malah, anggota parlimen Petaling Jaya Utara yang juga Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua pula mendakwa 'Malaysian Official 1'  tidak ada orang lain lagi selain Najib.

Pua dalam sidang medianya pada Khamis berkata, terdapat tiga transaksi pembayaran deposit yang dibuat kepada akaun Najib antara 2011 dan yang terakhir serta kontroversi adalah sebanyak AS$681 juta yang dibuat pada Mac 2013 sebelum pilihan raya umum ke-13 yang mana ia selepas AS$3 bilion bon 1MDB dikeluarkan.

Malaysiakini telah menyusun 36 petikan nama 'Malaysian Official 1' yang terkandung dalam dokumen setebal 136 halaman itu.

Di bawah ini adalah perenggan yang memetik nama individu misteri itu yang terkandung dalam hampir keseluruhan dokumen mahkamah berkenaan.


Para 28. 'Malaysian Official 1' merupakan pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang kedudukan yang berkuasa dalam 1MDB. Semasa waktu yang releven dengan aduan tersebut, 'Malaysian Official 1' merupakan "pegawai awam" yang mana istilah itu digunakan dalam 18 U.S.C § 1956(c)(7)(B)(iv) dan "penjawat awam" sebagai istilah yang digunakan dalam Seksyen 21 Kanun Keseksaan Malaysia.

29. Riza Shahriz Bin Abdul Aziz ("Aziz"), seorang warganegara Malaysia, mempunyai tali persaudaraan dengan 'Malaysian Official 1' dan kawan kepada Low. Beliau mengasaskan Red Granite Pictures, satu syarikat produksi filem Hollywood dan studio pengedaran pada tahun 2010.

39. Setelah pembentukannya (1MDB), 'Malaysian Official 1' mengambil alih kedudukan kuasa 1MDB. 'Malaysian Official 1' mempunyai kuasa untuk meluluskan semua pelantikan dan pemindahan Lembaga Pengarah 1MDB dan Pengurusan Kanan 1MDB. Di samping itu, sebarang komitmen kewangan 1MDB termasuk pelaburan, yang berkemungkinan menjejaskan jaminan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia untuk manfaat 1MDB atau mana-mana dasar kerajaan Malaysia, memerlukan kelulusan rasmi 'Malaysian Official 1'.

50. Satu mesyuarat khas Lembaga Pengarah 1MDB telah diadakan pada 26 September 2009 yang mana ia telah dihadiri oleh Pegawai 1MDB 1 dan 2 serta ahli-ahli Lembaga Pengarah. Low (Jho Low) juga menghadiri mesyuarat ini. Hanya sebelum mesyuarat itu, Low bercakap melalui telefon dengan 'Malaysian Official 1'.

(Judul Seksyen): Dana yang disalahgunakan dari 1MDB telah dipindahkan kepada pengasas bersama PetroSaudi dan selepas itu kepada 'Malaysian Official 1'.

Selepas judul di atas, carta yang dinamakan sebagai Table 2 pada muka surat 34 dalam dokumen tersebut menunjukkan dana AS$20 juta memasuki akaun 'Malaysian Official 1' dipaparkan.

99. Seperti yang dinyatakan di atas, antara September dan Oktober 2009, $700 juta dipesongkan daripada 1MDB kepada Akaun Good Star. Tambahan sebanyak $330 juta dipesongkan daripada 1MDB kepada Akaun Good Star antara Mei dan Oktober 2011. Menurut rekod perbankan J.P Morgan Chase, antara Februari dan Jun 2011, kira-kira $24,500,000 dana ini telah dipindahkan ke akaun di Riyad Bank dengan nama seorang putera Arab Saudi yang mana ia bersama dengan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi, pengasas PetroSaudi (PetroSaudi Co-Founder).

Dari dana tersebut, $20,000,000 telah dipindahkan dalam masa beberapa hari kepada akaun milik 'Malaysian Official 1'.

102. Plaintif mendakwa secara informasi dan percaya bahawa 'Malaysian Official 1' merupakan orang yang paling mendapat manfaat terhadap akaun AmPrivate Banking-MR. Akaun AmPrivate Banking-MR adalah akaun yang sama yang kemudiannya menerima bayaran tertentu berjumlah kira-kira AS$681 juta pada Mac 2013. Seperti yang dinyatakan dalam Perenggan 263 di bawah, Peguam Negara Malaysia secara terbuka menyatakan bahawa akaun yang telah dibuat pembayaran sebanyak $681 juta merupakan milik 'Malaysian Official 1'.

119. Dana yang dipindahkan ke Akaun Blackstone melalui Aabar-BVI seterusnya diagihkan kepada pegawai-pegawai IPIC, Aabar dan 1MDB. Antara kira-kira bulan Mei dan November 2012, tidak lama selepas Blackstone menerima dana daripada Akaun Swiss Aabar-BVI, Blackstone memindahkan $472,750,000 kepada akaun Luxembourg yang dimiliki oleh Qubaisi. Semasa kira-kira dalam tempoh yang sama, Blackstone memindahkan $66,600,000 kepada dua akaun berlainan yang dimiliki oleh Husseiny. Pada Oktober dan November 2012, Blackstone memindahkan $30,000,000 kepada akaun yang dimiliki oleh 'Malaysian Official 1'. Akhirnya ada Disember 2012, Blackstone memindahkan $5 juta kepada akaun Swiss yang dimiliki oleh Pegawai 1MDB 3 yang ketika itu merupakan Ketua Penasihat Perundangan dan Eksekutif Strategi Kumpulan 1MDB.

120. Tidak lama selepas menerima hasil kedua-dua jualan bon 2012 daripada 1MDB, Aabar-BVI juga telah memindahkan $238,000,000 ke akaun bank Singapura milik Red Granite Capital, sebuah entiti yang dimiliki oleh Riza Shahriz Bin Abdul Aziz ("Aziz"). Aziz merupakan individu yang mempunyai tali persaudaraan dengan 'Malaysian Official 1' dan kawan kepada Low. Antara lain, Aziz menggunakan wang ini untuk membeli hartanah mewah di Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk kepentingan peribadinya dan membiayai syarikat produksi filem beliau, Red Granite Pictures.

143. Sepanjang beberapa bulan, sebahagian besar daripada hasil kedua-dua jualan bon 2012- kira-kira $1.367 bilion secara keseluruhan- telah dipindahkan daripada 1MDB kepada akaun bank di Bank BSI di Switzerland yang dinamakan atas nama Aabar-BVI. Plaintif mendakwa secara informatif dan percaya bahawa dana yang dipindahkan ke dalam Akaun Swiss Aabar-BVI oleh 1MDB bukan untuk manfaat 1MDB, IPIC atau Aabar. Sebaliknya, Akaun Swiss Aabar-BVI telah digunakan untuk melakukan pemesongan yang menyalahi undang-undang hasil bon daripada Projek Magnolia dan Projek Maximus, yang mana selepas itu ia digunakan, setelah melalui pelbagai akaun untuk membuat pembayaran yang cukup banyak kepada Qubaisi, Husseiny, 'Malaysian Official 1', dan Pegawai 1MDB 3.

178. Apabila dana telah dipindahkan dari Aabar-BVI kepada Blackstone, mereka membuat pembayaran kepada Qubaisi dan Husseiny (dua pegawai rasmi Emirates Arab Bersatu), yang berkhidmat sebagai pegawai-pegawai kepada Aabar dan Aabar-BVI, kepada 'Malaysian Official 1' dan Pegawai 1MDB 3. Pengagihan dana ini daripada akaun Blackstone adalah untuk faedah peribadi pegawai yang terlibat dalam urus niaga bon yang membuktikan satu penyelewengan dana awam dan pemesongan hasil bon daripada tujuan yang dimaksudkan.

[baca berita asal]

Lihat Komen
ADS