Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MT Umno ambil maklum MO1
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 2:43 PM
Dikemaskini: 2:45 PM

Majlis Tertinggi (MT) Umno telah mengambil maklum mengenai kewujudan seseorang dikenali sebagai ‘Malaysian Official 1’ dalam dokumen Jabatan Kehakiman (DOJ) AS, kata Perdana Menteri.

Kata Datuk Seri Najib Razak perkara itu juga telah dijelaskan kepada orang ramai.

"Kami maklum perkara itu dan ia telah jelaskan kepada orang ramai," katanya di sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

DOJ Amerika Syarikat sebelum ini menyebut beberapa individu dalam dokumen saman sivil mereka.

Individu itu termasuk tiga pegawai 1MDB yang tidak dinamakan, hartawan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho dan anak tiri Najib, Riza Aziz.

Turut disebut ‘Malaysian Official 1’ yang tidak didedahkan identitinya, namun dikaitkan secara meluas dengan Najib.

Ini berdasarkan huraian mengenai ‘Malaysian Official 1’, hubungan kekeluargaan dengan Riza dan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

‘Malaysian Official 1’ didakwa akhirnya menerima AS$731 juta dana 1MDB.

Najib ditemui media selepas menghadiri mesyuarat MT Umno.

Wartawan bertanya kepada beliau sama ada isu Malaysian Official 1 dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini menyatakan tiada bukti dana 1MDB diselewengkan.

Najib juga menafikan berlaku sebarang salah laku dalam skandal 1MDB dan menganggap tuduhan yang dikaitkan kepada kerajaan adalah usaha pihak tertentu untuk menjatuhkannya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen