Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Terima kasih Abu Kasim, saya akan ikut perintah Allah'
Diterbitkan:  Aug 1, 2016 1:36 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad berikrar memulakan tugas dengan menjadikan firman tuhan sebagai pegangan selama berkhidmat.

Dalam kenyataan rasmi pertama, Dzulkifli berkata beliau sedar dan insaf pada firman tuhan yang menyeru orang-orang yang beriman supaya tidak khianati amanat yang diberikan.

“Peringatan Allah SWT ini akan sentiasa saya jadikan pegangan serta pedoman sepanjang saya melaksanakan amanah yang amat berat ini,” katanya.

Memulakan tugasnya, Dzulkifli tiba tepat 8 pagi di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, dengan disambut pegawai kanan suruhanjaya itu.

Dzulkifli sebelum ini bertugas sebagai pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara.

Beliau menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed yang akan ditempatkan sebagai pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Peluang berbakti

Sementara itu, Dzulkifli juga berkata mahu menjadikan pelantikan sebagai peluang berbakti kepada negara dengan sebaik mungkin menerajui usaha pencegahan rasuah.

Sedar pada cabaran getir dan garapan tinggi, beliau berharap mendapat kerjasama segenap lapisan masyarakat.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed atas kepimpinannya yang cemerlang serta sumbangannya yang besar kepada SPRM dan negara,” katanya.

Dzulkifli juga berkata beliau menerima jawatan itu dengan penuh rasa rendah hati dan kesyukuran ke hadrat Allah.

Beliau juga menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas pelantikannya.

“Saya turut ingin merakamkan penghargaan kepada pihak erajaan atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya.

Perubahan tampuk kepimpinan SPRM dibimbing pengkritik yang mengaitkannya dengan tekanan kerajaan setelah Abu Kassim didakwa terlibat berkomplot dan menyalurkan maklumat berkaitan 1MDB kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS).

Jabatan Kehakiman (DOJ) AS sebelum ini mengumumkan prosiding sivil untuk menyita aset berkaitan 1MDB, yang menurutnya “dicuri” daripada rakyat Malaysia.

Perdana menteri bagaimanapun berkata 1MDB tidak terbabit secara langsung dalam laporan DOJ dan syarikat pelaburan negara itu tiada aset di AS.

Lihat Komen
ADS