Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mana mufti dan ulama ketika rakyat perlu suara mereka?

ULASAN l Ustaz Ahmad Awang, Penasihat Umum AMANAH, telah menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian tentang isu 1MDB dan juga tindakan saman kerajaan Amerika baru baru ini ke atas 1MDB.

Malahan Majlis Raja-Raja Melayu sejak Oktober 2015 lagi telah meminta isu 1MDB diselesaikan oleh kerajaan tanpa tindakan yang sepatutnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saya juga pernah menyoal fenomena membisu kebanyakan ulama tentang isu 1MDB. Setakat ini hanya seorang mufti Negeri yang ke hadapan bersuara tentang kemungkaran pemerintah.

Berkatalah pula Mufti Perak Tan Sri Harussani yang "Peguam Negara sudah putuskan, buat apa bincang 1MDB!"

Perlu diingat selepas Tan Sri Abdul Gani Patail “dipencenkan" secara mengejut sebagai peguam negara atas alasan kesihatan, walaupun beliau mengakui sihat dan segar, penggantinya secepat kilat mengisytiharkan Najib bebas dari segala kesalahan dalam isu 1MDB!

Begitu hebatnya peguam negara sekarang. Pada masa yang sama laporan Ketua Audit Negara dirahsiakan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sangat mudah Harussani membuat kesimpulan dalam isu yang penting untuk negara ini.

Bukankah Islam melarang dari membuat keputusan tergesa gesa tanpa kajian mendalam. Apakan lagi dalam isu sepenting ini untuk negara.

Penghias majlis

Jika ulama kerajaan dan mufti membuat kenyataan seolah-olah hanya untuk mengiakan pihak kerajaan sahaja, tidak boleh disalahkan rakyat menyoal peranan mereka menegakkan kebenaran menurut Islam sebenarnya.

Sekarang pun ramai yang memandang golongan ini lebih sebagai penghias dan penyeri majlis rasmi kerajaan sahaja.

Lebih menghairankan lagi kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Abdul Shukor Husin yang menyatakan: "Kita juga tidak punya maklumat tentang soal ekonomi yang teknikal dan di tahap global."

Majlis Fatwa tidak merancang bersidang tentang isu 1MDB?

Ini menimbulkan soal tanda tanya adakah Majlis Fatwa berhasrat untuk terus relevan dan memainkan peranan menyeluruh dan bermakna isu semasa untuk masyarakat Islam hari ini dalam suasana ekonomi global?

Mereka mesti mengubah sikap untuk menjadi terus relevan. Di mana usaha dan kesungguhan mereka untuk memahami isu semasa?

Para mufti dan ulama kerajaaan janganlah kelihatan hanya untuk menentukan tarikh puasa dan raya sahaja tetapi peranan mereka sepatutnya lebih luas.

Majlis Raja-Raja Melayu membuat pendirian dengan inisiatif mereka meminta pandangan pakar sebelum menasihati kerajaan menyelesaikan isu 1MDB tahun lepas lagi.

Di mana kesungguhan Majlis Fatwa?

Tidakkah boleh Majlis Fatwa juga mencari pakar luar atau jabatan kerajaan untuk memberi pandangan jika mereka betul-betul bersungguh-sungguh menangani isu ini?

Ulama bijaksana

Bukankah Majlis Fatwa sepatutnya juga menasihati Majlis Raja-Raja? Bagaimana hendak menasihati Raja-Raja kalau Raja-Raja lagi jauh ke hadapan dalam kesungguhan serta inisiatif menangani isu semasa sementara Majlis Fatwa memberi berbagai alasan.

Perpatah Melayu berbunyi "kalau hendak seribu daya, kalau tidak seribu dalih!"

Ilmu agama sahaja tanpa kebijaksanaan dan inisiatif rujukan kepakaran bidang-bidang lain tidak cukup untuk menangani isu kompleks dunia hari ini.

Bukan tidak pernah ada ulama Malaysia yang bijaksana di era moden hari ini.

Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat adalah contoh cemerlang ulama bertaraf dunia! Beliau mengelilingi dirinya dengan pakar serta bijak pandai termasuk profesional dan dengan penuh bijaksana menangani isu semasa dengan baik.

Nik Aziz disegani ramai dari kalangan kawan dan lawan. Kenapa para ulama serta mufti kita hari ini tidak bolih mengambil sikap yang sama tetapi memilih untuk duduk dibawah telunjuk pemimpin negara.

Rakyat sangat kecewa!

Junjung perintah Allah

Jikalau kebanyakan mufti golongan ulama kerajaan hanya ambil jalan mudah seperti terkandung dalam peringatan slogan surat menyurat kerajaan: "Saya yang menurut perintah", siapa pula yang akan menjunjung perintah Allah?

Almarhum Nik Aziz telah menujuk contoh kepimpinan ulama yang tegas dan berani untuk memimpin Kelantan secara Islam untuk lebih dari 20 tahun.

Apabila ulama hari ini memilih untuk membisu apabila berhadapan dengan kerajaan zalim, ini akan menyebabkan kemusnahan masyarakat Islam.

Mufti kerajaan kita hari ini hanya berani melontar kenyataan terhadap golongan minoriti sahaja seperti yang dilakukan olih mufti Pahang yang mengistihar golongan tertentu di Malaysia sebagai kafir harbi!

Berhadapan dengan pemimpin berkuasa negara yang zalim, mereka tidak berani mengangkat muka pun dan terus diam membisu seribu bahasa.

Pada saat umat Islam Malaysia mengharapkan kepimpinan dan ketegasan dari ulama dalam menghadapi kemelut masalah negara, kenapakah ulama dan mufti kita hari ini kebanyakannya berdiam diri?

Berapa lama lagikah harus kita menunggu untuk golongan-golongan ini yang akan menunjukkan kepimpinan seperti Almarhum Nik Aziz muncul?

Hanya ulama dan mufti-mufti sahajalah yang bolih memberi jawapannya.

Saranan ini juga ditujukan kepada ulama-ulama dari parti pembangkang yang ingin memperjuangkan hak rakyat dan menentang kemungkaran.

Nasihatilah kerajaan seperti yang di janjikan. Itu pun kalau mereka masih mahu bangkit sedar dan peka rintihan serta derita rakyat hari ini.

Hanya pada Allah kita berdoa dan berserah.


Raja Bahrin Shah adalah ahli parlimen Kuala Terengganu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS