Artikel Harakah kucar-kacirkan negara
Seorang ahli Umno mendakwa rencana Harakah bertajuk 'Liputan pengakuan salah laku Sukma hina dan jahat: Dr Chandra' yang disiarkan 1999 boleh menyebabkan "negara kucar-kacir".
Mohd Tajudin Tambi Abdul Wahid, yang melaporkan tulisan itu kepada polis, berkata demikian dalam perbicaraan kes hasutan terhadap Ketua Pengarang tabloid PAS, Zulkifli Sulong di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur petang tadi.
Mohd Tajudin membuat laporan polis di balai Sentul, Kuala Lumpur pada 20 Ogos dua tahun lalu.
"Selepas membaca artikel itu, saya rasa (tulisan) ini berbentuk hasutan yang ditulis oleh (Timbalan Presiden Keadilan) Dr Chandra (Muzaffar)," katanya.
Diterbitkan pada halaman 40 akhbar itu pada 2 Ogos 1999, rencana itu menyebutkan: "Adalah memalukan bahawa elemen di dalam pasukan polis, di Pejabat Peguam Negara, mahkamah dan media massa bersedia diperalatkan dalam konspirasi terbesar yang dirancang oleh Perdana Menteri (Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya".
Kata Mohd Tajudin lagi, rencana tersebut menuduh Dr Mahathir Mohamad dan pembantu-pembantunya berpakat menjatuhkan Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bantuan Pejabat Peguam Negara.
Ketika menjawab soalan peguam bela Zamani Ibrahim, ahli Umno itu menegaskan rencana tersebut menyebabkan rakyat tidak percaya kepada Pejabat Peguam Negara, mahkamah, polis dan media.
Pertikaikan soalan peguam
Mohd Tajudin, yang merupakan pengerusi syarikat produksi Tad Netwotk Sdn Bhd, menambah "negara akan kucar-kacir" akibat tulisan seumpama itu.
Apabila ditanya tujuan sebenar beliau membuat laporan, Mohd Tajudin berkata tindakan itu bertujuan supaya rakyat lebih memahami bahawa tulisan Harakah itu tidak benar dan bersifat fitnah.
"(Laporan dibuat) supaya perkara ini diperbetulkan dan akhbar yang menulis ini (Harakah) tidak boleh berbuat sesuka hati sebab (hal) ini melibatkan kepimpinan negara, polis, badan kehakiman dan media," tegasnya.
Sebelum itu hakim Khadijah Idris tidak membenarkan ahli Umno itu meminta untuk mempertikaikan soalan peguam. Mohd Tajudin berhujah "soalan peguam bela kabur" ketika Zamani meminta pengesahan sama ada beliau mengetahui pejabat PAS dan pejabat akhbar itu.
Sebelum itu saksi kesembilan, bekas pengarang bahagian bahasa Inggeris Harakah , Abdul Rahman Koya mengesahkan perenggan terakhir dalam rencana berbahasa Melayu itu tidak terdapat dalam edisi berbahasa Inggeris.
Perasaan kecewa
Beliau menjelaskan perenggan tersebut tidak perlu dimasukkan dalam edisi itu kerana tumpuan utama tulisan itu adalah media dan beliau tidak menerbitkan perkara-perkara yang terkeluar dari fokus utama tulisan itu.
Bagaimanapun Abdul Rahman berkata beliau tidak tahu sebab-sebab perenggan terakhir itu terdapat dalam tulisan berbahasa Melayu.
"Fokus adalah pada media (iaitu) perasaan kecewa yang diluahkan oleh Dr Chandra terhadap amalan media," kata Abdul Rahman, apabila diminta menyatakan pandangan berhubung keseluruhan rencana itu.
Timbalan Pendakwaraya Abd Rahman Redza kemudiannya bertanya sama ada perenggan itu ditujukan kepada pihak-pihak selain media. "Saya tidak setuju," jawabnya.
Zulkifli turut diwakili oleh peguam Hasnan Hamzah. Perbicaraan disambung pada 28 Jun.
Pengarang akhbar itu dituduh di bawah seksyen 4 (1) Akta Hasutan. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksima tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.

