Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis berbelah-bahagi impak parti pribumi Muhyiddin

Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin bersiap-sedia untuk mendaftarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, petang ini, penganalisis berbelah-bahagi mengenai impak parti baru itu pada pilihan raya akan datang.

Bekas timbalan perdana menteri dijangka menerajui parti berasaskan pribumi itu sebagai presiden manakala bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi.

Pada satu pihak, tindakan mereka meninggalkan Umno dikatakan mampu menjana sokongan untuk gerakan 'Selamatkan Malaysia' yang mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

Tetapi pada pihak lain, parti baru itu mungkin akan hanya memecahkan undi di kalangan pengundi Melayu dan memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-14, yang dijadualkan sebelum atau pada 2018.

Penganalisis politik Datin Paduka Prof Ramlah Adam memberitahu Malaysiakini bahawa reputasi Muhyiddin dan Mahathir di kalangan pengundi Melayu telah merudum, berikutan serangan berterusan mereka terhadap Umno dan Najib.

“Sebagai orang-orang ternama, bila mereka buat macami tu (menubuhkan sebuah parti baru), nampak macam tak boleh terima kekalahan.

“Lagipun, mereka sendiri yang mengundang masalah (dengan menyerang Najib/Umno) sehingga akhirnya dipecat. Semasa dalam parti, walaupun berbeza pendapat tetapi seharusnya tetap sokong-menyokong,” katanya.

Ego Muhyiddin

Ramlah juga bersetuju dengan pendapat bahawa sudah ada "terlalu banyak" parti berasaskan kaum Melayu di Malaysia.

Beliau berkata kedua-dua Muhyiddin dan Mahathir sepatutnya mengaku kalah selepas cubaan mereka untuk menyingkirkan Najib gagal.

Ramlah yang juga adalah Pegarah, Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis mendakwa bahawa parti baru itu ditubuhkan kerana Muhyiddin masih mahu berkuasa.

“Muhyiddin masih nak jadi pemimpin. Tapi kalau dia nak sertai PKR (atau parti lain) dan dilantik sebagai ketua pembangkang nampak macam ‘tak berapa kena’ sebab akan timbul keadaan di mana tak semua pemimpin parti percaya dengan dia.

“Jadi tubuh parti baru nampak macam hanya nak puaskan ego dia,” katanya.

Menurut Ramlah, pemecatan Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir - yang juga dilantik sebagai ahli jawatankuasa penaja parti baru - dari Umno tidak menimbulkan rasa tidak puas hati yang besar di kalangan akar umbi parti.

“Saya rasa hanya dua tiga orang sahaja di peringkat bawah yang bersuara menyokong mereka. Ini memang perangai Umno. Majoriti akar-umbi tak akan bersuara.

“Najib dan pimpinan tak akan biarkan keaadaan jadi tidak terkawal. Mereka (yang dipecat) akan diganti dan lama-lama orang (pengkritik) akan penat bercakap.

“Sekarang pun kita boleh lihat pembangkang macam dah tak ada modal,” katanya.

Penganalisis politik Prof Ahmad Atory Hussain juga bersetuju dengan Ramlah mengenai kewujudan "majoriti senyap" dalam Umno dan di kalangan pengundi Melayu.

Budaya 'derhaka'

Namun, Atory mengingatkan bahawa majoriti senyap itu mungkin menunggu sehingga PRU14 untuk menolak BN, kerana undi mereka sekarang akan kekal rahsia.

“Dalam politik Melayu/Umno, memang ada budaya untuk tidak menunjukkan ‘derhaka’ terhadap pemimpin.

“Tetapi nanti semasa pilihan raya, undi adalah rahsia,” kata pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia.

Atory juga berkata parti baru yang ditubuhkan itu bakal menjadi "replika Umno" untuk menarik undi daripada majoriti senyap, sambil menambah bahawa langkah itu bukanlah sesuatu yang baru dalam politik Malaysia.

“Parti Melayu betul tak ada. Kita memang ada banyak parti politik, tapi tidak ada yang sama macam Umno dari segi pengaruh.

“Parti seperti KITA, IKATAN... penyokongnya mungkin tak seberapa,” katanya.

Bagi penganalisis politik Maszlee Malik, beliua melihat penubuhan parti baru itu sebagai satu ulangan sejarah politik Malaysia yang menyaksikan Umno berdepan Semangat 46 pada pilihan raya umum 1990.

“Parti ini mampu mengulangi senario Semangat 46 di awal penubuhannya yang telah membawa gelombang anjakan undi kepada pembangkang pada PRU 1990.

“Bezanya kali ini, pihak pembangkang sudah jauh lebih bersedia berbanding pada tahun 1990 dahulu,” kata Maszlee sambil memberi amaran bahawa masih terlalu awal untuk mana-mana pihak untuk menolak potensi atau impak parti baru itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS