Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Fitnah, Ahmad Said enggan layan serangan video seks

Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said enggan melayan 'serangan' terhadap dirinya termasuk dakwaan terdapat video dan gambar seks melibatkannya.

Menyifatkan fitnah kini berlaku dengan pelbagai cara, beliau berharap perkara itu tidak akan berpanjangan.

"Itu saya tak mahu komen. Saya malaslah. Sekarang dah mula keluar macam-macam. Tak apa, saya tak mahu komen.

“Kalau kita panjangkan (isu ini) ia akan berpanjangan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kemaman, Terengganu.

Ditanya sama ada beliau takut dengan 'ugutan' berhubung video itu, anggota Dewan Undangan (ADUN) Kijal berkata beliau kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak teragak-agak untuk membuat serangan balas sekiranya perlu.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya berhenti membuat fitnah, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan maruah seseorang.

"Saya tak takut. (Kalau) orang serang saya, saya serang balik. Nak suruh saya berhenti? Nak malukan saya? Umno tak untung apa-apa. Kalau sanggup pilihan raya negeri, OK buatlah.

"Ini maruah orang. Kalau dulu, fitnah mulut ke mulut. Hari ini (boleh) fitnah orang dengan pelbagai cara. Lepas itu, maruah orang, kita nak tanggung dosa orang?

"Tuhan dah beritahu, kalau kita jaga maruah orang, tuhan jaga maruah kita. Apa faedah yang dapat (dengan fitnah)?" ujarnya lagi.

Semalam The Star Online melaporkan, wujud dakwaan video dan gambar seks melibatkan seorang ahli politik kanan Terengganu.

Ahli politik yang tidak dinamakan itu dikatakan yang memberikan sebuah projek pembalakan kepada seorang wanita dan sebagai balasan, mendapat habuan seks pada 2009.

Ahmad Said ketika itu berkhidmat sebagai menteri besar Terengganu sebelum digantikan secara kontroversi dengan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman pada 2013.

Laporan itu muncul semalam, sehari selepas spekulasi usul tidak percaya akan dibuat sekali lagi terhadap menteri besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang pada Isnin.

Ahmad Said, seorang pemimpin lantang Umno, beberapa kali kelihatan dalam acara bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengkritik utama kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penguasaan BN di Terengganu tidak kukuh susulan hanya mempunyai 17 kerusi DUN berbanding pembangkang dengan 15 kerusi.

Jika Ahmad Said berpaling tadah dan berjaya menarik hanya seorang lagi wakil BN dalam DUN, BN boleh hilang kerajaan di negeri pantai timur itu.

Lihat Komen
ADS