Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semalam genap lima kali Selasa dari janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyaman akhbar The Wall Street Journal. Bermakna, "Selasa" dijanjikan beliau sudah sebulan berlalu.

Dan Najib kelihatan masih 'buat bodoh' dengan janjinya seolah-olah rakyat masih hidup dalam gua dan tak tahu apa-apa tentang kes dan isu melibatkan pentadbiran beliau.

Daripada pendedahan WSJ hinggalah tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS terhadap aktiviti penggubahan wang haram membabitkan seseorang dikenali hanya sebagai Malaysian Official 1 (MO1) dan konco-konconya, "Selasa" dijanjikan Najib masih tidak kunjung tiba.

Mungkin "Selasa" itu sebenarnya tidak wujud dalam kalendar Malaysia. Mungkin. Atau Najib menunggu "Selasa" lain yang tidak ada dalam fahaman kita sebagai satu daripada tujuh hari yang ada dalam seminggu.

Baiklah, mungkin kadang-kadang kita - sebagai rakyat - terlalu kasar, terburu-buru dan tidak sabar. Kalau ditanya elok-elok dan bersopan santun, mungkin perdana menteri akan memberi jawapan dengan baik.

Mari kita cuba bertanya dengan penuh budi bahasa: "Wahai perdana menteri yang disayangi, setelah lima kali Selasa berlalu, sejujurnya berapa lama lagi "Selasa" yang mahu ditunggu Datuk Seri untuk mengambil tindakan terhadap WSJ dan pihak-pihak lain yang mengaitkan Datuk Seri dalam jenayah 1MDB?"

Setelah bersopan-santun begitu dan Najib masih tidak menjawab, janganlah pula kita marah.

Rakyat tidak akan marah

Sebetulnya memang Najib tidak akan mengambil tindakan undang-undang pun. Najib cukup cerdik untuk tahu bahawa tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa tidak hanya akan mengalahkan beliau, bahkan berisiko besar untuk mendedahkan kes-kes lain yang mungkin masih tersimpan kemas ketika ini.

Sebagai pemimpin utama sebuah parti yang telah berjaya memenangi 13 kali pilihan raya umum dengan sekian banyak 'silap mata', Najib cukup tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat sebagai pemimpin.

Jika setakat berjanji kemudian 'buat bodoh' dan akhirnya membuat penafian, beliau percaya penuh bahawa rakyat negara ini tidak akan marah.

Bahkan marah-marah rakyat ketika ini hanyalah 'marah-marah kucing' yang akhirnya diyakini akan cair dengan pujukan BR1M bernilai RM1,000 menjelang pilihan raya.

Setakat pung-pang pung-pang bising kedai mamak, kita boleh saja tersenyum hingga ke telinga apabila mendapat bonus sebulan gaji daripada kerajaan.

Kemudian ada pula projek khas menafikan bahawa Najib bukanlan MO1, sebaliknya meyakinkan rakyat, wujud komplot amat terancang sedang berjalan untuk menjatuhkan beliau.

Najib cukup tahu bahawa politikus seperti Khairul Azwan Harun mudah untuk dipergunakan.

Buat laporan polis, kemudian jawab apa-apa saja depan wartawan dan bertabah untuk mendengar maki hamun berbakul-bakul daripada orang ramai sebagai seorang macai.

Mudah sungguh kerja pelapis-pelapis muda dalam Umno. Bak kata ketua mereka, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tidak mengapa menjadi balaci atau macai demi "Kebersamaan dengan presiden." Hidup Melayu!

Calar imej, legasi bapa

Hal besar yang perlu difikirkan adalah, berapa lama lagi Najib mampu bertahan dengan stail kepimpinan seperti ini? Adakah beliau tahu bahawa hari demi hari orang ramai hanya berbincang, bila dan bagaimana untuk menurunkan Najib?

Adakah selepas ini Najib mahu menggunakan pula terma-terma Islamik seperti "bughah terhadap ulil amri' untuk menghalalkan tindak balasnya terhadap rakyat, sementelah beroleh kuasa cukup besar di tangannya melalui Akta Majlis Keselamatan Negara yang sempurna diwartakan?

Bapanya, almarhum Tun Razak Hussein - dengan pelbagai jasa besar kepada negara - merupakan tokoh pemimpin yang pernah bernadi di sanubari rakyat.

Najib sendiri acap kali menyebut-nyebut nama dan legasi bapanya, seolah-olah ingin membina persepsi bahawa beliau mengikut jejak bapanya.

Namun dengan segala macam skandal, pembohongan dan penafian ini, tidakkah beliau terfikir bahawa tindak-tanduk itu bukan saja mencalarkan imej dirinya, bahkan almarhum bapanya yang dibanggakan sebagai Bapa Perpaduan?

Melebihi sepenggal kepimpinan beliau, malangnya Najib ketika ini hanya boleh berbangga sebagai perdana menteri paling tidak digemari dalam sejarah panjang Malaysia.

Tidak hanya dibenci, majoriti rakyat bahkan malu untuk dikaitkan dengan dirinya, lebih-lebih lagi isterinya, Rosmah Mansur. Jika sebelum skandal 1MDB beliau hanya merupakan liabiliti kepada Umno dengan adanya bayang-bayang First Lady of Malaysia yang cukup berpengaruh dalam kerajaan, kini Najib secara pasti merupakan liabiliti kepada rakyat serta peradaban negara.

Najib dan "Selasa" misteri dan entah bagaimana bentuknya itu adalah simbol hubungan gagal antara pemimpin dan rakyat. Amat menyedihkan apabila rasa hilang kepercayaan itu menjejaskan kebanggaan rakyat terhadap negara berdaulat ini.

Maka buatlah sesuatu duhai rakyat. Sebelum negara ini 'mati' dan 'dikapankan' terus, sementara masih ada rnyawa-nyawa ikan ini, bertindaklah segera memberikan bantuan pernafasan CPR kepada watan tercinta.

Jika itupun masih susah dan lambat-lambat untuk mengorak langkah, maka terimalah salam takziah awal daripadaku.

Belasungkawa rakyat Malaysia!

#TangkapMO1 #27Ogos #KL


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah naib ketua pemuda Parti Amanah Negara

Lihat Komen
ADS