Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN l Rakyat Malaysia membaca dengan penuh harapan kenyataan ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengeluarkan amaran "hentikan amalan rasuah dan salah guna kuasa atau hadapi tindakan SPRM".

Datuk Dzulkifli Ahmad (bawah, kanan) juga menyaran pesalah untuk menyerah diri secara sukarela untuk pertimbangan hukum yang lebih ringan.

Saya rasa hampir semua akan bersetuju saranan tersebut. Sebenarnya semua kes mesti disiasat secara terperinci.

Bagaimanapun saya ingin membuat beberapa cadangan untuk memastikan kejayaan dan untuk membuat cadangan tersebut lebih praktikal.

Sebelum ini pun kita percaya pihak SPRM di bawah bekas ketua pesuruhjaya, Tan Sri Abu Kassim memang cuba menjalankan tugas mereka dengan telus dan bersungguh-sungguh.

Masalahnya kebanyakan siasatan mereka, terutamanya yg melibatkan orang kenamaan, tidak diambil tindakan sewajarnya oleh Pejabat Peguam Negara.

Contoh yang paling terkemuka dan ketara adalah yang melibatkan penukaran mengejut pegawai siasatan kanan SPRM yang menyiasat kes 1MDB.

Malahan lebih mengejut lagi apabila peguam negara baru mengambil alih tugas, beliau telah secepat kilat menutup siasatan kes 1MDB sementara kerajaan Singapura, Switzerland dan Amerika sedang rancak menjalankan siasatan ke atas kes 1MDB.

Tutup kes

SPRM terpaksa tangguh kes, peguam negara tutup kes, Malaysia jadi "meletup" kes!

Dua tahun lalu, saya hadir dalam satu perjumpaan bersama Abu Kassim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dengan ahli ahli parlimen.

Kami telah mencadang kuasa pendakwaan diberikan kepada SPRM. Abu Kassim bersetuju cadangan tersebut malahan itulah harapan SPRM selama ini, katanya.

Sebelum ini SPRM yang bertungkus lumus menyediakan laporan siasatan tetapi dikecewakan dengan tindakan kelihatan secara terpilih oleh peguam negara di mana banyak kes melibatkan VIP tidak dibawa kepada pendakwaan sepatutnya.

Dzulkifli Ahmad yang asalnya merupakan pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara, sebagai ketua SPRM sekarang sudah tentu tahu masalah yangw ujud selama ini dan boleh membuat perubahan positif yg berkesan.

Kalau tidak petukaran beliau ke SPRM tidak akan membawa apa-apa pembaharuan positif malahan mungkin akan dilihat akan melemahkan lagi SPRM dengan bekas pegawai peguam negara "menyusup" menerajui SPRM dan bukan pegawai dari dalam SPRM sendiri.

Selama ini Jabatan Peguam Negara yang dilihat sebagai penghalang banyak pendakwaan hasil siasatan SPRM. Ini akan menjadi persepsi ramai rakyat Malaysia.

Kepimpinan melalui teladan?

Satu lagi laporan kenyataan oleh Dzukifli menyebut SPRM berhasrat membersihkan kakitangan perkhidmatan kerajaan dari rasuah.

Kami bersetuju dengan saranan tersebut tetapi persoalannya kenapa hanya ditujukan hanya kepada pegawai khidmat kerajaan sahaja dan bukan kepada kerajaan keseluruhannya?

Ahli-ahli politik kerajaan yang meluluskan undang-undang memikul tanggung jawap yang lebih besar.

Tidakkah kerajaan hari ini mengamalkan lagi konsep kepimpinan melalui teladan? Ahli politik kerajaan di parlimen mengluluskan undang-undang pengubalan wang haram tetapi kerajaan sendiri melalui 1MDB melanggar undang-undang tersebut di Singapura, Switzerkand dan Amerika.

1MDB juga membawa wang rakyat Malaysia ke pusat penggubalan wang haram dan judi Utama dunia di Cayman Island. Adakah orang paling berkuasa 1MDB, iaitu ‘Malaysian Officer 1', pegawai kerajaan atau ahli politik?

Pukat terlalu rapoh

Dalam usaha SPRM dan Jabatan Peguam Negara menangkap mereka yang mengamalkan rasuah mereka hendaklah menggunakan pukat tunda yang kukuh supaya ikan kecil dan besar semuanya ditangkap.

Masalahnya hari ini pukat yang digunakan hari ini terlalu rapoh.

Hanya ikan kecil yang lemah ditangkap sementara yg besar terlalu gagah lalu bolos dan bebas berenang sehingga sampai ke Singapura, Switzerland dan Amerika hingga boleh tinggal di pangsa puri mewah di sana!

Ikan dikatakan mulai buruk dan busuk dari kepalanya, hingga sampai ke ekornya! Buruk kepala buruklah badannya.

Buruk ketua buruklah pengikutnya! Itulah kepimpinan melalui teladan yang ta lihat hari ini di Malaysia.


Raja Bahrin Shah adalah ahli parlimen, Kuala Terengganu dan pemimpin AMANAH.

Lihat Komen
ADS