Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berikut fakta sebenar bagi memperbetulkan salah lapor artikel Malaysiakini bertajuk Mahkamah Rayuan Syariah Tolak Rayuan Anwar, bertarikh 8 Ogos 2016:

Pada 8 Ogos 2016, Panel Rayuan Mahkamah Syariah telah menolak Notis Tunjuk Sebab yang difailkan oleh barisan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) terhadap Ketua Pendaftar MSWP, Tuan Muhammad Khairul Nizzam Kassim.

Notis Tunjuk Sebab itu difailkan kerana Ketua Pendaftar MSWP tidak membenarkan salah seorang peguam DSAI iaitu Mohd Rafie Mohd Syafie menghadiri prosiding pengurusan kes pada 16 Mei 2016 kerana wakalah beliau untuk mewakili DSAI tiada di dalam fail mahkamah dan fail peguam pihak satu lagi. Manakala Peguam-peguam DSAI yang telah memfailkan wakalah tidak hadir tanpa memaklumkan ketidakhadiran tersebut kepada mahkamah.

Prosiding Pengurusan Kes pada 16 Mei 2016 adalah berikutan perintah Mahkamah Rayuan Syariah pada 29 April 2016 yang memerintahkan kes rayuan daripada pihak DSAI yang difailkan pada tahun 2010 di sebut semula di hadapan ketua pendaftar dalam tempoh 21 hari.

Berikutan perintah tersebut, notis bagi tujuan sebutan kes di hantar kepada semua peguam DSAI selaku perayu dan responden termasuk peguam masing-masing. Namun, semasa prosiding pengurusan kes, hanya peguam-peguam yang berwakalah dan telah difailkan ke Mahkamah sahaja dibenarkan masuk. Peguam dari pihak DSAI mahupun pihak responden yang turut hadir pada hari berkenaan tetapi tidak mempunyai rekod wakalah di dalam fail Mahkamah tidak dibenarkan masuk.

Di dalam prosiding tersebut, ketua pendaftar telah menjadualkan tarikh-tarikh pemfailan hujah yang perlu dipatuhi oleh pihak-pihak. Tarikh-tarikh pemfailan tersebut telah dimaklumkan kepada peguam DSAI pada hari yang sama melalui e-mel.

Namun peguam DSAI tidak mematuhi tarikh yang telah ditetapkan untuk pemfailan hujah tersebut menyebabkan Panel Rayuan terpaksa memberikan peluang kedua dengan menjadualkan semula tarikh-tarikh pemfailan hujah. Kesannya, kes rayuan tersebut yang sepatutnya boleh diselesaikan lebih awal terpaksa ditangguh ke bulan Oktober.

Dokumen yang dimaksudkan oleh Malaysiakini yang kononnya hilang adalah wakalah tersebut. Wakalah adalah surat cara pelantikan pihak-pihak kepada seseorang peguam syarie untuk mewakilinya dalam kes di Mahkamah Syariah. Tanpa wakalah, seseorang peguam tidak boleh bertindak mewakili anak guamnya.

Semakan mahkamah mendapati memang ada resit bayaran dibuat tetapi dokumen itu (wakalah) tidak diserahkan kepada mahkamah mahupun kepada peguam responden.

Panel Rayuan Syariah dalam penghakiman pada 08 Ogos 2016 berpendapat bahawa tindakan Ketua Pendaftar tidak membenarkan Peguam Syarie Mohd Rafie Mohd Syafie masuk tanpa wakalah adalah tepat dan mengikut prosedur.

Oleh yang demikian, Panel Rayuan Syariah telah menolak Permohonan Notis Tunjuk Sebab yang difailkan terhadap Ketua Pendaftar MSWP.

Laporan Malaysiakini bahawa Mahkamah Rayuan Syariah menolak kes Qazaf Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari Azlan adalah tidak benar. Ini kerana kes Qazaf ini belum lagi difailkan di Mahkamah Syariah.

DSAI hanya membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan Syariah bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bahawa mahkamah tidak berbidang kuasa bagi mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie memfailkan tuduhan Qazaf terhadap Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan terhadap kes rayuan tersebut akan di buat pada bulan Oktober nanti.


Malaysiakini amat kesal terhadap kesilapan fakta dalam artikel itu dan memohon maaf. Pembetulan telah dibuat sehari sehari selepas laporan itu. Penjelasan Sahabat Mahkamah Syariah juga disiarkan penuh pada hari yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS