Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar gagal mulakan prosiding hina mahkamah ke atas pendaftar

Mahkamah Rayuan Syariah hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Pendaftar Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang didakwanya menghina mahkamah dalam kes qazaf yang sedang berlangsung terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketua Umum PKR itu memfailkan permohonannya pada 2 Jun lalu selepas pendaftar Muhammad Khairul Nizam Kassim didakwa menghalang peguam Anwar, Mohd Rafie Mohd Syafie daripada menghadiri sesi pengurusan kes pada 16 Mei.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Seri Md Yusup Che Tah mendapati bahawa tindakan pendaftar itu adalah mengikut prosedur wakalah yang mengesahkan bahawa pelantikan Mohd Rafie oleh Anwar, tidak ada di dalam rekod pendaftar.

Mahkamah mendapati walaupun terdapat resit yang menunjukkan dokumen berkenaan difailkan tetapi dokumen itu tidak dikemukakan kepada mahkamah atau kepada pasukan peguam pihak lawan.

Dokumen yang didakwa difailkan pada 21 Februari 2012 juga didapati tiada dalam rekod simpanan mahkamah.

Selain itu, mahkamah rayuan syariah juga memutuskan tidak berlaku sebarang ketidakadilan
kerana pendengaran prosiding qazaf akan berjalan seperti dijadualkan pada bulan Oktober.

Di bawah peraturan mahkamah syariah, seorang peguam yang dilantik secara rasmi oleh pelanggan mesti melalui perjanjian (wakalah) yang perlu disaksikan oleh pendaftar. Dokumen ini kemudiannya difailkan untuk rekod mahkamah.

Mohd Rafie berkata beliau telah menerima arahan untuk memfailkan semakan mengenai keputusan itu dengan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh dua minggu akan datang.

Mahkamah rayuan syariah adalah mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman syariah. Rayuan terhadap keputusan mahkamah rayuan perlu dibuat kepada Seri Paduka.

Anwar, yang turut hadir hari ini, mempersoalkan bagaimana perkara berkenaan boleh berlaku.

“(Kita) gagal di mahkamah syariah, caranya hanya merayu pada Agong kerana kita daftar (wakalah) pada pendaftar tapi record pendaftar tak ada,” katanya.

Anwar kini menjalani hukuman lima tahun penjara kerana didapati bersalah meliwat Saiful Bukari setelah mahkamah persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah rayuan.

Beliau secara konsisten menyifatkan tuduhan itu "bermotif politik" dan dirinya tidak bersalah.

Anwar memfailkan tuntutan qazaf terhadap Saiful Bukhari, kerana bekas pembantunya gagal mengemukakan empat saksi untuk menyokong tuduhan dirinya diliwatnya pada tahun 2008.

Qazaf di bawah undang-undang syariah adalah kesalahan menuduh seseorang melakukan hubungan seks haram, tanpa bukti dan empat saksi berwibawa.


Nota Editor: Versi awal artikel ini telah digantikan dengan di atas. Kami kesal dengan segala kesilapan artikel itu.

Lihat Komen
ADS