Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini berkata pihaknya tidak akan menyaman kedai-kedai yang gagal mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan Hari Kebangsaan bermula daripada 15 Ogos hingga 16 September depan.
Ahli Majlis, Pooi Weng Keong memberitahu sidang media hari ini di pejabat MPSJ di Subang Jaya bahawa pengumuman presiden majlis itu, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sebelum ini adalah hanya cadangan dan telah ditolak.
"Jawatankuasa yang bermesyuarat semalam menolak cadangan itu.
"Kita tidak boleh paksa patriotisme ... Jika kamu sayang negara, kamu akan melakukannya (kibar benderan) tanpa paksaan," kata Pooi, yang bertanggungjawab terhadap Zon 24.
The Star pada 12 Ogoslalu memetik Nor Hisham sebagai berkata MPSJ akan memasukkan syarat keperluan untuk mengibarkan bendera sebagai antara syarat pelesenan perniagaan dan garis panduan iklan mulai tahun depan.
Beliau juga dipetik sebagai berkata bahawa denda kompaun sehingga RM1,000 akan dikeluarkan kepada peniaga yang gagal mempamerkan bendera kebangsaan sepanjang tempoh yang ditetapkan itu.
Walau bagaimanapun, Pooi menjelaskan bahawa tiada pindaan akan dibuat berhubung peraturan sedia ada untuk lesen perniagaan di bawah bidang kuasa MPSJ.
"Tidak ada syarat tambahan bagi tahun depan dan juga tidak ada perkara seperti kompaun RM1,000," katanya.
