Umno perlu selami cita rasa generasi baru: Abdullah
Ahli Umno hari ini disaran menyesuaikan diri dengan majoriti pengundi yang memiliki nilai dan pegangan baru akibat keadaan semasa yang amat berbeza dengan persekitaran masyarakat sebelum dan awal merdeka.
"Jika Umno gagal menyelami dan memahami perubahan ini, pendekatan Umno akan dilihat hambar dan gerak kerja Umno dipandang tidak bermaya. Wawasan Umno dianggap lapuk dan gagasan Umno disifatkan usang," kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Umno tidak boleh bergantung kepada pendekatan (politik) pada tahun 1950-an hingga 1970-an untuk menghadapi kenyataan abad ke-21."
Tambahnya, generasi kini bijak membuat analisis secara objektif dan menilai jurang yang wujud antara janji-janji politik dan pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri juga mengingatkan, beberapa isu seperti keadilan, hak asasi, kebebasan bersuara, keutuhan kerajaan, ketelusan pengurusan, institusi perundangan dan masyarakat bertamadun perlu diberikan perhatian bagi menghadapi kumpulan sasaran ini.
"Mereka adalah golongan yang mendapat peluang pendidikan lebih luas, bermutu dan terdedah kepada maya lebih terbuka. Mereka mempunyai fikiran lebih kritis terhadap apa yang sedang berlaku," kata Abdullah, dalam ucapan perasmian bersama pergerakan-pergerakan Pemuda dan Wanita Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, pagi tadi.
Ketandusan idealisme
Menurutnya lagi, generasi sekarang mempunyai alternatif yang membolehkan mereka membuat perbandingan dan pilihan lain.
"Program-program pembangunan prasarana" dan "retorik mengingatkan faktor sejarah (perjuangan dan kejayaan Umno) semata-mata" tidak cukup untuk membina keyakinan rakyat terhadap parti itu, tambahnya dalam ucapan bertajuk 'Memperteguhkan Perpaduan, Menggerakkan Perubahan'.
"Perjuangan Umno akan dianggap ketandusan idealisme jika erti dan makna perjuangan tidak dapat menyentuh hati dan nadi generasi semasa dan baru," tegas Abdullah, dan menyarankan "kejuruteraan semula" pendekatan politik dan gerak kerja parti itu.
Sebelum itu beliau mengkritik keghairahan ahli Umno berebut jawatan ketika pemilihan peringkat bahagian beberapa bulan lalu sehingga sambutan ulang tahun ke-55 parti itu tidak diberikan perhatian.
"Sambutan ulang tahun tarikh penubuhan Umno bagaikan tenggelam," katanya. "Pemilihan pemimpin di peringkat bahagian mengatasi segalanya."
Pemimpin kanan Umno itu tidak lupa mengkritik PAS yang gagal mengadakan pertemuan perpaduan Melayu seperti disarankan oleh parti Melayu itu.
Menafikan kedudukan Melayu
"PAS lebih terbuka untuk melayan DAP walaupun dalam banyak perkara DAP dan PAS jauh berbeza," kata Abdullah. "PAS sanggup melafazkan pendirian yang boleh menggadaikan kedudukan istimewa orang-orang Melayu apabila menghadapi kumpulan sasar bukan Melayu."
Abdullah juga mengecam masyarakat bukan Melayu yang disifatkannya cuba "menafikan kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera" selepas mereka diberikan taraf kerakyatan menjelang kemerdekaan negara.
(Beliau dipercayai merujuk rayuan pilihan raya Suqiu yang menggesa perbezaan kaum dihapuskan dan sistem penilaian dibuat berdasarkan merit)
"Ada (pihak) yang bertanggapan bahawa kelantangan (masyarakat) bukan Melayu membangkitkan persoalan ini kerana persepsi (anggapan) bahawa Barisan Nasional kembali berkuasa menubuhkan kerajaan dengan kelebihan kerusi dua pertiga dalam pilihan raya 1999 disebabkan sokongan (undi) mereka," katanya.
(Kemenangan BN sering dikaitkan dengan sokongan pengundi Cina selepas krisis politik dalam Umno dan masyarakat Melayu ekoran pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim).
Seramai 689 perwakilan Pemuda dan 635 perwakilan Wanita daripada 165 bahagian Umno menghadiri perhimpunan hari ini.
Lpiutan perhimpunan agung Umno

