Demonstrasi jalanan bukan pendekatan perubahan
Demonstrasi jalanan bukan pendekatan ke arah reformasi politik walau dengan alasan semata-mata untuk mengukuhkan amalan demokrasi dan membuat perubahan dalam negara.
"Perubahan radikal ala revolusi menggunakan kekerasan sehingga mengakibatkan pertumpahan darah dan mencetuskan anarki (huru-hara) tidak harus dibenarkan," kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menyampaikan ucapan perasmian di perhimpunan agung Pemuda dan Wanita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra hari ini.
"Tidak ada ertinya pembaharuan (reformasi) jika ia akan hanya mencetuskan anarki (kacau-bilau)."
Katanya, membina sebuah negara berdaya maju pasti memakan masa yang panjang tetapi kemusnahan boleh berlaku sekelip mata saja.
"Kita tidak harus membenarkan diri dijadikan boneka oleh dalang dan anasir dari luar yang mempunyai muslihat dan agenda tertentu," tambahnya.
Timbalan Predana Menteri juga mengingatkan agar orang ramai tidak terburu-buru mengukuhkan amalan demokrasi hingga menyimpang daripada budaya berpolitik yang menghargai nilai keamanan dan keharmonian.
"Kita mengamalkan demokrasi yang sihat yang menghormati suara dan kehendak majoriti rakyat," katanya, dalam ucapan bertemakan 'Memperteguhkan Perpaduan, Menggerakkan Perubahan'.
"Demokrasi yang sihat bukan hanya menghargai media yang bebas tetapi perlu didukung oleh media yang turut berperanan memenuhi tanggungjawab sosial dan politik dalam menyampaikan maklumat dan tidak sekadar bergantung kepada (laporan) sensasi," jelas beliau.
Abdullah juga meminta badan bukan kerajaan (NGO) memikul tanggungjawab bersama bagi membina masyarakat yang bertamadun ke arah mendukung demokrasi sihat.
Menurutnya, pentadbiran yang cekap dan mengikut kehendak rakyat adalah keupayaan pemimpin negara untuk melaksanakan program ekonomi yang dinamik dan meningkatkan kemakmuran bagi merapatkan jurang antara kaya dan miskin.
Sementara badan kehakiman perlu telus dan undang-undang perlu dikuatkuasakan dengan saksama sebagai langkah-langkah utama untuk memperkukuhkan sistem demokrasi di negara ini, katanya lagi.
Seramai 689 perwakilan Pemuda dan 635 perwakilan Wanita Umno dari seluruh negara menghadiri persidangan itu.
Liputan perhimpunan agung Umno

